Xiaomi telah melancarkan Redmi K30 yang menggantikan kedudukan Redmi K20, juga dikenali di pasaran antarabangsa sebagai Mi 9T. Ia adalah telefon pertama dari Redmi yang menyokong rangkaian 5G, juga adalah yang pertama bukan kelas flagship dengan 5G.
Terdapat dua model Redmi K30 yang dilancarkan, bukan versi Pro tetapi Redmi K30 5G dan Redmi K30, yang tiada sokongan 5G. Telefon baru ini turut menggunakan pemproses terbaru dari Qualcomm yang baru diumumkan minggu lepas. Mungkin namanya berbeza dengan dan tanpa 5G, tetapi perbezannya jauh lagi besar dari yang dijangka.
Redmi K30 5G
Telefon pintar Redmi K30 5G memiliki skrin HD Penuh berukuran 6.67-inci dengan refresh rate sepantas 120Hz. Ia naik taraf yang baik untuk bermain game tetapi kali ini ia tidak lagi menggunakan skrin AMOLED, sebaliknya hanya LCD yang turut menyokong HDR10.
Skrin ini memiliki lubang bujur di sudut atas yang menempatkan dua kamera hadapan iaitu kamera utama 20MP dan kamera pengesan kedalaman 2MP. Disebabkan skrin LCD, ia tiada pengimbas capjari dalam skrin tetapi menggunakan pengimbas capjari di sisi yang digabungkan dengan butang kuasa, seperti di Honor 20.
Kuasa Redmi K30 5G digerakkan oleh pemproses terbaru Qualcomm, Snapdragon 765G bersama RAM sehingga 8GB dan storan antara 64GB, 128GB dan 256GB. Baterinya lebih besar, kini 4,5000mAh dan menyokong pengecasan pantas 30W melalui USB-C. Telefon ini adalah peranti pertama Xiaomi yang menyokong dwi-mod 5G, SA dan NSA.
Untuk kamera, sementara di hadapan ada dua kamera, di belakang pula ada empat kamera. Ia adalah kamera utama 64MP F1.9 yang menggunakan sensor Sony IMX686, bersama kamera ultra lebar 8MP F2.2, kamera super makro 5MP F2.4 dan kamera pengesan kedalaman 2MP F2.4. Agak pelik kerana ia tiada lagi kamera telefoto.
Lain-lain ciri-ciri yang ada seperti jek audio 3.5mm, pemancar infra merah, WiFI 802.11ac, Bluetooth v5.1 serta dwi-frekuensi GPS dan NFC.
Redmi K30 “4G”
Versi yang tiada sokongan 5G ini mengekalkan rupa yang sama seperti skrin HD penuh 6.67-inci 120Hz dari jenis LCD. Perbezaannya terdapat di dalam kerana ia dikuasakan pemproses Snapdragon 730G dengan RAM sehingga 8GB dan storan sehingga 256GB.
Kamera depan dan belakang juga sama, tetapi berbeza pada kamera makro yang hanya memiliki 2MP. Bateri juga sama 4,500mAh tetapi pengecasnya berkuasa 27W sahaja. Lain-lain ciri masih sama tetapi hanya satu yang berbeza iaitu satu frekuensi GPS. Sikit-sikit lain tapi nampak banyak juga bezanya.
Harga Jualan
Di China, Redmi K30 akan dijual dengan harga seperti berikut:
Redmi K30 5G
- RAM 6GB + storan 64GB – RMB1,999 (~RM1,182)
- RAM 6GB + storan 128GB – RMB2,299 (~RM1,360)
- RAM 8GB + storan 128GB – RMB2,599 (~RM1,537)
- RAM 8GB + storan 256GB – RMB2,899 (~RM1,715)
Redmi K30 4G
- RAM 6GB + storan 64GB – RMB1,599 (~RM945)
- RAM 6GB + storan 128GB – RMB1,699 (~RM1,005)
- RAM 8GB + storan 128GB – RMB1,899 (~RM1,123)
- RAM 8GB + storan 256GB – RMB2,199 (~RM1,300)
Menariknya, harga Redmi K30 5G adalah agak sama dengan Redmi K20 semasa pertama kali dilancarkan. Jadi kini pengguna boleh menikmati rangkaian 5G, skrin lebih lancar dan bateri besar. Tetapi ia juga tiada lagi skrin AMOLED dan tiada kamera telefoto. Naik taraf di sini tetapi ada turun taraf di sana.
Tarikh jualan untuk Redmi K30 4G akan bermula pada 12 Disember tetapi versi 5G akan dijual pada Januari 2020. Setakat ini masih belum ada ura-ura tentang versi Pro yang diharapkan akan diperkasa dengan pemproses siri-8 Snapdragon.
Sumber: Xiaomi