Salah satu telefon pintar yang banyak diperkatakan di Malaysia tahun ini adalah Mi 9T. Versi Pro tiba tidak lama kemudian membawakan kuasa Snapdragon 855 pada harga di bawah RM2,000.
Pada pengenalan awalnya, Mi 9T Pro dengan storan 128GB dijual pada harga RM1,799, kini ia diumumkan telah turun harga RM200 menjadi RM1,599 sahaja.
Telefon pintar Mi 9T Pro dengan harga baru ini boleh didapati di semua cawangan fizikal Mi Store di seluruh negara. Senarai Mi Store boleh disemak di sini. Tiada pula khabar apa yang terjadi dengan Mi 9T 64GB.
Bagi yang belum kenal, Mi 9T Pro adalah telefon pintar yang memiliki skrin HD Penuh 6.39-inci dari jenis AMOLED tanpa takuk dan lubang. Pengimbas capjarinya juga terdapat di dalam skrin. Sementara Mi 9T biasa menggunakan pemproses Snapdragon 730, Mi 9T Pro dilengkapi pemproses Snapdragon 855 bersama sistem penyejukan graphite yang lebih baik membebaskan haba.
Kamera hadapannya 20MP dan ia terletak pada modul boleh sembunyi, memberikan skrinnya penuh tanpa takuk atau lubang. Kamera belakangnya ada tiga, iaitu kamera utama 48MP, kamera telefoto 8MP dan kamera ultra lebar 13MP.
Bateri di dalam telefon ini sebesar 4,000mAh dan ia menyokong pengecasan pantas 27W melalui USB-C. Cuma di dalam kotak, Xiaomi menyertakan pengecas 18W sahaja. Walaupun tiada pembesar suara stereo, telefon ini masih mengekalkan jek audio 3.5mm padanya.
Sumber: Xiaomi