Oppo perkenal dua model baru Reno3 yang menyokong 5G

Sebelum mengakhiri tahun 2019, Oppo di China sempat melancarkan dua lagi model baru telefon pintar keluaran mereka, Oppo Reno3 dan Oppo Reno3 Pro. Menariknya, kedua-dua model ini menyokong rangkaian 5G.

Kedua-dua Oppo Reno3 ini memiliki skrin OLED bersaiz 6.5-inci, serta empat kamera di belakang. Kamera hadapan hanya satu di kedua-dua model, tetapi menggunakan pendekatan yang berbeza.

Oppo Reno3 Pro

Model Reno terbaru ini tidak lagi menggunakan modul kamera hadapan bersirip jerung, yang menjadi ikon siri Reno selama ini. Ia dikuasakan pemproses terbaru Qualcomm iaitu Snapdragon 765G dengan modem X52 5G terbina di dalam. Terdapat dua variasi diperkenalkan, pertama dengan RAM 8GB dan storan 128GB dan lebih hebat lagi dilengkapi RAM 12GB dan storan 256GB.

Skrin Oppo Reno3 Pro berukuran 6.5-inci 90Hz dari jenis AMOLED dengan resolusi HD Penuh dan kaca Corning Gorilla Glass 5 di atasnya. Ia memiliki sisi yang melengkung serta lubang di sudut atas, memuatkan kamera hadapan 32MP padanya. Skrin ini menyokong 100% DCI-P3 dan HDR10+, serta memiliki pengimbas capjari di dalam skrin.

Empat kamera di belakangnya ialah kamera utama 48MP F1.7, kamera ultra lebar 8MP F2.2, kamera monokrom 2MP F2.4 dan kamera telofoto 13MP F2.4 denga keupayaan zum optikal 2x dan zum hibrid 5x. Kamera ini juga lengkap dengan penstabil imej optikal dan elektronik (OIS+EIS).

Bateri di dalam Reno3 Pro sebesar 4,025mAh dan ia menyokong pengecasan pantas VOOC 4.0 30W yang boleh mengecas 70% dalam masa 30 minit. Ia juga ada pembesar suara stereo dengan tekologi Dolby Atmos di atas dan bawah skrin.

Oppo Reno3

Berbeza dengan versi pro, Oppo Reno3 dikuasakan oleh pemproses baru Mediatek, Dimensity 1000L. Cip ini turut menyokong rangkaian 5G dwi-mod, SA dan NSA. Variasi yang disediakan juga ada dua, dengan RAM 8GB dan storan 128GB serta RAM 12GB dan storan 128GB.

BACA  Percuma dua unit Oppo Enco Q1 dengan pembelian Oppo Reno2

Skrin dari jenis AMOLED berukuran 6.44-inci digunakan di Reno3, dari jenis rata dan tiada 90Hz. Pengimbas capjari juga terdapat di dalam skrin manakala untuk kamera hadapan, ia terletak di dalam takuk di atas skrin.

Kamera belakang juga sedikit berbeza. Reno3 dilengkapi kamera utama 64MP, kamera ultra lebar 8MP, kamera monokrom serta kamera potret. Tiada kamera telefoto padanya. Di hadapan pula, ia menggunakan kamera 32MP.

Tenaga bateri yang sama digunakan untuk Oppo Reno3. Bateri di dalamnya berkapasiti 4,025mAh dan menyokong pengecasan pantas VOOC 4.00 30W, berkeupayaan mengecas 70% dalam masa 30 minit.

Harga jualan

Oppo memperkenalkan empat warna unik untuk Reno3 Pro dan Reno 3 iaitu Sunrise, Starry Night, Hitam dan Putih. Terdapat satu warna tambahan khas untuk Reno3 Pro iaitu Pantone Blue, warna rasmi Pantone untuk tahun 2020.

Tempahan awal di China untuk kedua-dua model Reno3 akan dibuka pada 31 Disember 2019. Harga jualannya pula adalah seperti berikut:

  • Oppo Reno3 Pro (RAM 8GB + Storan 128GB) – RMB3,999 (~RM2,361)
  • Oppo Reno3 Pro (RAM 12GB + Storan 256GB) – RMB4,499 (~RM2,656)
  • Oppo Reno3 Pro Pantone (RAM 8GB + Storan 128GB) – RMB4,199 (~RM2,479)
  • Oppo Reno3 (RAM 8GB + Storan 128GB) – RMB3,399 (~RM2,006)
  • Oppo Reno3 (RAM 12GB + Storan 128GB) – RMB3,699 (~RM2,184)

Sumber: GSMarena