Telefon 5G pertama dari Realme akan dilancarkan pada 7 Januari 2020

Realme kini telah mengumumkan akan memperkenalkan telefon pintar 5G pertama mereka. Dikenali sebagai Realme X50, telefon ini akan dilancarkan di Beijing, China pada 7 Januari 2020.

Menerusi laman rasmi Realme di weibo, mereka berkongsi banyak perkara mengenai Realme X50. Sayangnya, Realme X50 tidak akan menggunakan cip flagship Snapdragon 865, tetapi ia akan dilengkapi cip Snapdragon 765G.

Dengan Snapdragon 765G, ia membolehkan penggunaan rangkaian 5G melalui modem X52 yang terbina di dalamnya. Ia turut membenarkan penggunaan dwi-mod 5G, SA dan NSA yang membolehkan ia serasi digunakan dengan rangkaian 5G sedia ada dan akan datang.

Lain-lain perkara yang dikongsi Realme di weibo adalah seperti penggunaan sistem penyejukan cecair melalui tiub kuprum besar, dengan lebar 8mm dan seluas 410mm³. Ia juga dilengkapi pengecas VOOC 4.0 yang boleh mengecas 70% dalam masa 30 minit.

Satu lagi benda yang boleh dilihat dari gambar yang dikongsi ini ialah terdapatnya dua lubang di sudut atas kiri skrin. Ini memberi petunjuk penggunaan dua kamera hadapan di dalam lubang skrin, seperti di Samsung Galaxy S10+.

Telefon pintar Realme X2 Pro telah menarik perhatian ramai kerana prestasi tertinggi dengan harga yang lebih rendah dari biasa. Tetapi dengan Realme X50 ini, ia mungkin tidak dilengkapi ciri-ciri terbaik di Realme X2 Pro seperti skrin 90Hz, speaker stereo Dolby Atmos dan kuasa cip flagship Snapdragon 8.

Bagaimanapun perkara ini masih belum boleh dipastikan sehingga Realme mengumumkan secara rasmi kelak. Sama-sama kita tunggu apakah ada kejutan yang akan diberikan Realme semasa pelancaran Realme X50 pada 7 Januari 2020 nanti.

Sumber: XDA-Developers, weibo 1, weibo 2

BACA  Galaxy A51 dan Galaxy A71 ada dua tahun jaminan dan perlindungan skrin retak eksklusif untuk tempahan awal