Servis menghantar penumpang motorsikal Dego Ride mula berkhidmat

Pada tahun 2017, Dego Ride melancarkan perkhidmatan menghantar penumpang ala Uber, tetapi dengan menggunakan motorsikal. Bagaimanapun ia hanya dapat berkhidmat untuk masa yang pendek kerana dilarang oleh kerajaan. Kini dengan tibanya tahun 2020, Dego Ride kembali memulakan perkhidmatannya selepas mendapat lampu hijau dari kerajaan Malaysia.

Pengasas dan Ketua Pegawai Operasi (CEO) Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj berkata, operasi Dego Ride buat masa awal ini meliputi kawasan dari Putrajaya sehingga Shah Alam. Ia akan diperluaskan lagi kerana mereka masih memproses permohonan penunggang motorsikal yang berminat.

Dego Ride kini memiliki 700 penunggang yang berdaftar dengan 4,000 lagi permohonan yang sedang diproses. Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq menyambut baik kedatangan Dego Ride dan menyatakan, ia memberi peluang pekerjaan kepada anak muda dengan gaji sekitar RM1,500-RM3,500. Beliau juga berdoa semoga ia akan berkembang menjadi seperti GoJek & Grab.

Perkhidmatan e-hailing motorsikal seperti Dego Ride ialah sesuatu yang sangat baru di Malaysia, berbeza dengan negara jiran Thailand dan Indonesia yang telah sekian lama menggunakannya. Kerana itu, banyak pihak yang kurang meyakininya, terutama sekali apabila penumpangnya ialah wanita dan penunggannya lelaki.

Untuk mengatasi kegusaran orang ramai, CEO Dego Ride menjelaskan, penumpang Dego Ride akan dipadankan dengan penumpang dari jantina yang sama sahaja. Untuk itu, beliau menyeru agar lebih ramai penunggang wanita menyertai mereka bagi mengisi permintaan penumpang wanita. Setakat ini, mereka menerima sekitar 100 permohonan penunggang wanita dengan kurang dari 50 telah diluluskan.

BACA  Harga Black Shark 2 jatuh menjunam

Dego Ride mengenakan kadar RM3 untuk 3KM pertama dengan tambahan RM1 untuk setiap kilomter berikutnya. Bagi memastikan keselamatan penunggang dan penumpang, Dego Ride akan membuat pemeriksaan berkala terhadap kenderaan dan menyediakan perlindungan insuran kepada penumpang.

Sumber: Malay Mail, The Star