fbpx

Tak perlu penat beratur, ini cara mudah semak Wang Tak Dituntut dalam talian

Pada tahun 2017, heboh di kalangan rakyat Malaysia tentang Wang Tak Dituntut (WTD) yang menyebabkan ramai orang bersesak-sesak ke pejabat Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) untuk menyemak jika ada WTD yang boleh dituntut. Berjam-jam masa terbuang kerana beratur dan ramai yang pulang kecewa kerana mendapati hampir tiada WTD untuk mereka tuntut.

JANM telah berjanji akan membangunkan portal untuk menyemak WTD secara dalam talian seawal tahun 2020, dan kini janji tersebut telah tertunai. Orang ramai kini boleh menyemak WTD menerusi portal eGUMIS.

Menurut JANM, carian untuk WTD di portal eGUMIS adalah untuk tahun kewangan 2006 sehingga kini sahaja, yang diserahkan oleh syarikat atau firma berkaitan. Portal ini juga hanya menyediakan perkhidmatan semakan. Untuk permohonan WTD jika ada, pemohon perlu menghantar permohonan melalui pos ke Pejabat Pendaftar, atau hadir sendiri ke Pejabat Pendaftar atau cawangan JANM Negeri berdekatan.

Jika anda pertama kali mengunjungi portal eGUMIS, pelu membuat pendaftaran terlebih dahulu. Pergi ke Tab Semakan dan klik pada Pendaftaran. Di situ, pengguna perlu mengisi semua maklumat peribadi yang diperlukan, bersama nama pangguna dan kata laluan. Kata laluan di sini hanyalah untuk pengesahan sementara, kerana kata laluan sebenar perlu diletakkan selepas pendaftaran disahkan melalui emel.

Selepas mengesahkan pendaftaran menerusi pautan di emel, pengguna perlu memasukkan kata laluan sementara yang didaftarkan tadi bersama kata laluan sebenar yang ingin digunakan. Selepas selesai, barulah boleh mendaftar masuk ke sistem eGUMIS.

Di laman utama eGUMIS, untuk membuat semakan, klik pada KLIK DISINI UNTUK CARIAN WANG TAK DITUNTUT. Carian boleh dibuat menggunakan nombor kad pengenalan lama/baru, nombor tentera, nombor polis, nombor pasport, nombor sijil kelahiran atau nombor pendaftaran syarikat/firma. Ambil perhatian, sistem eGUMIS hanya membenarkan dua carian dibuat sehari.

BACA  Maklumat rasmi pertama tahun 2020 untuk konsol permainan next-gen Sony adalah logonya

Jika carian WTD menunjukkan ada wang yang boleh dituntut, ia akan menyenaraikan semua dibawahnya. Tekan butang Cetak di bawah dan ia akan memaparkan hasil carian dalam dokumen PDF yang mudah disimpan dan dicetak.

Langkah seterusnya, adalah membuat permohonan WTD. Portal eGUMIS buat masa ini tidak menyediakan perkhidmatan ini, maka ia perlu dibuat sama ada menghantar permohonan melalui pos ke Pejabat Pendaftar, atau hadir sendiri ke Pejabat Pendaftar atau cawangan JANM Negeri berdekatan. Maklumat lanjut berkenaan WTD boleh di semak di ruangan Soalan Lazim WTD JANM.

Semoga berjaya.