Nilai Alphabet mencecah USD1 trilion menurut jejak Apple, Amazon dan Microsoft

Sebelum ini, terdapat tiga syarikat dari Amerika Syarikat yang telah mencapai nilai pasaran USD1 trilion iaitu Apple, Amazon dan Microsoft. Kini satu lagi syarikat telah mencecah nilai ini. Syarikat tersebut ialah Alphabet.

Nama Alphabet mungkin agak asing dan tidak dikenali ramai. Tetapi ia adalah syarikat induk untuk Google. Pendek kata, Google adalah sebahagian dari syarikat yang telah mencapai nilai pasaran USD1 Trilion. Nilai ini tercapai sebelum pasaran saham ditutup pada hari Khamis, di mana nilai saham Alphabet didagangkan pada USD1,451.70 sesaham, naik sebanyak 0.87 peratus.

Perkara ini dilihat satu perkara positif yang dicapai Alphabet selepas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Google, Sundar Pichai mengambil alih kedudukan CEO Alphabet pada bulan Disember lepas. Ia susulan peletakan jawatan Lary Page dan Sergey Brin yang melupuskan semua kawalan mereka terhadap Alphabet. Alphabet berhadapan pelbagai masalah beberapa tahun sebelum ini dengan tuduhan gangguan seksual di kalangan pekerja serta protes oleh 20,000 pekerja Google.

Alphabet dijadualkan akan membentangkan laporan pendapatan suku keempat mereka pada 3 Februari, dan penganalisa Wall Street menjangka mereka akan melaporkan pendapatan sebanyak USD46.9 bilion, peningkatan hampir 20% dari tahun-ke-tahun.

Apple ialah syarikat Amerika Syarikat yang pertama mencecah nilai USD1 trilion pada tahun 2018, diikuti oeh Amazon di hujung tahun dan Microsoft pada awal 2019. Bagaimanapun, syarikat pertama yang mencecah nilai USD1 trilion ialah PetroChina pada tahun 2007. Tahun lepas, syarikat Saudi Aramco menjadi syarikat pertama mencecah nilai USD2 trilion selepas disenaraikan di Bursa Saham Riyadh pada Disember lepas.

Nilaian trilion dolar ini bukanlah petunjuk sebenar tentang keadaan ekonomi syarikat secara keseluruhan. Malah ia tidak digunakan dalam sebarang urusan berguna oleh pelabur. Sekadar satu nombor yang kelihatan menggemparkan. Bagaimanapun, syarikat bernilai trilion dolar ini masih merupakan syarikat yang paling untung menurut Fortune. Dengan Saudi Aramco di tangga teratas, Apple kedua dan Alphabet ketujuh.

BACA  Realme C3 akan dilancar minggu depan dengan semua benda lebih besar

Selepas ini, syarikat yang dijangka akan mencapai nilai USD1 trilion ialah Facebook. Semasa pasaran ditutup pada Khamis petang, ia dinilaikan pada USD620 bilion. Dengan kemasukan iklan di WhatsApp, ia pasti dapat membantu meningkatkan nilai Facebook, jadi pasti mereka akan mencari untuk memasukkan iklan walaupun kelihatan baru membatalkannya.

Sumber: The Verge