Mi 9 kini ditawarkan di bawah RM1300, harga termurah untuk kuasa Snapdragon 855

Jika anda mahu mencari kuasa Snapdragon 855 di telefon pintar pada harga paling rendah, anda kini boleh mendapatkan Xiaomi Mi 9. Ia kini dijual pada harga RM1,289 sahaja di Stor Rasmi Xiaomi di Shopee. Ia disenaraikan sebagai promosi Tahun Baru Cina, tetapi tidak dinyatakan sampai bila. Jika berminat, lebih baik anda cepat dapatkannya sebelum promosi ini berlalu.

Telefon pintar Xiaomi Mi 9 yang berharga RM1,289 ini memiliki storan dalaman 64GB bersama RAM 6GB. Harga asalnya ialah RM1,699 bermakna diskaun sebanyak RM410 dalam promosi ini. Jika mahu storan lebih besar, ia turut ditawarkan dalam promosi ini, pada harga hanya RM1,379 sahaja. Diskaun sebanyak RM620 berbanding harga asal RM1,999.

Mi 9 dilancarkan di Malaysia pada bulan April lepas. Ia membawa kuasa Snapdragon 855 dengan harga lebih murah dari jenama lain. RAM 6GB menjadi standard untuk semua model dan ditawarkan dengan storan 64GB atau 128GB. Ia dipasang skrin AMOLED 6.39-inci, bertakuk kecil titisan air dan resolusi HD Penuh+. Pengimbas capjari pula terdapat di dalam skrin.

Kamera di belakang Mi 9, menggabungkan tiga kamera iaitu kamera utama 48MP F1.75 dengan sensor Sony IMX586, kamera ultra lebar 16MP F2.2 dan kamera telefoto 12MP F2.2 dengan kemampuan 2x zum optikal. Kamera swafoto pula 20MP F2.0 yang terletak di dalam takuk di atas skrin.

Bateri untuk Mi 9 boleh dikira kecil, hanya 3,300mAh. Tetapi ia menyokong pengecasan pantas 27W melalui USB-C, dan turut menyokong pengecasan wayarles 20W, terpantas buat masa kini. Tetapi di dalam kotak Xiaomi menyertakan pengecas 18W sahaja.

BACA  Harga Galaxy A51 dan Galaxy A71 didedah, satu kekal satu lebih murah