Minggu lepas, U Mobile telah memperkenal pelan pascabayar baru, Giler Unlimited GX68 yang menawarkan internet tanpa had kuota dan tiada sekatan kelajuan. Ia memberi pengguna pilihan baru di mana sebelum ini U Mobile telah melancarkan pelan GX50, juga tanpa had kuota tetapi dengan sekatan kelajuan pada 5Mbps.
Bagaimanapun, beberapa hari kemudian tersebar gambar di internet yang menunjukkan sistem U Mobile menyenaraikan pelan GX68 dengan kuota hotspot 5GB (5120MB) dan kuota bulanan 50GB (51,200MB). Sedangkan U Mobile menyatakan pelan GX68 adalah pelan yang benar-benar tiada had kuota.
U Mobile tampil menjelaskan tentang persoalan ini. Dalam satu balasan ciapan di twitter, U mobile menekankan bahawa tiada sebarang sekatan kuota dan had kelajuan. Gambar yang tersebar itu adalah gambar dari pihak ketiga yang digunakan sebagai pengganti atau ‘dummy’ semasa peringkat ujian.
Perkara ini menjadi perbualan kerana tahun lepas, U Mobile dilaporkan meletakkan had kuota kepada pelan Giler Unlimited GX50 sebanyak 50GB, di mana kelajuan akan disekat kepada 0.5Mbps dari sekatan asal 5Mbps. Malah, kelajuan akan turut disekat pada waktu malam. Sekatan dan kuota yang sama turut dikenakan kepada pelan Giler Unlimited GX30.
Dalam hal ini, pada awalnya U Mobile mengakui mengenakan Polisi Penggunaan Saksama (Fair Usage Policy, FUP) untuk menangani penyalahgunaan internet tanpa had. Tetapi kini, U Mobile tidak lagi mengenakan sekatan FUP untuk pelan GX30 dan GX50.
Dari terma dan syarat U Mobile, GX68 menyediakan strim video pada kadar definisi standard (SD) manakala peer-to-peer (P2P) pula disekat pada 64kbps. Hotspot pula memiliki kuota 5GB sebulan dengan kuota tambahan boleh dibeli berharga RM3, yang memberikan 3GB data hotspot yang boleh digunakan dalam masa 3 hari.
Semoga U Mobile benar-benar mengotakan kata-kata mereka bahawa tiada had kuota untuk semua pelan Giler Unlimited sepanjang masa dan tiada sekatan kelajuan untuk pelan GX68. Jika anda pengguna U Mobile Giler Unlimited, apakah anda pernah berhadapan sekatan kelajuan apabila mencapai tahap penggunaan tertentu? Kongsikan dengan kami jika ia pernah berlaku.
Sumber: Twitter