• English
  • 中文版
  • Berita
  • Feature
    • Reviu Produk
    • Tips & Tricks
  • Telefon Pintar
  • Telco
  • Komponen PC
Menu
  • English
  • 中文版
  • Berita
  • Feature
    • Reviu Produk
    • Tips & Tricks
  • Telefon Pintar
  • Telco
  • Komponen PC
Search
  • English
  • 中文版
  • Berita
  • Feature
    • Reviu Produk
    • Tips & Tricks
  • Telefon Pintar
  • Telco
  • Komponen PC
Menu
  • English
  • 中文版
  • Berita
  • Feature
    • Reviu Produk
    • Tips & Tricks
  • Telefon Pintar
  • Telco
  • Komponen PC
Search
Close
Home Berita

Tempahan Tesla Roadster baharu dibuka di Malaysia, boleh ‘terbang’ & pecut bawah 1s

  • OLEH Putra Aziz
  • 8:02 pm
  • 16/10/2026
  • Komen
Tempahan Tesla Roadster baharu dibuka di Malaysia, boleh ‘terbang’ & pecut bawah 1s
Share on FacebookShare on Twitter

Tesla Roadster generasi kedua yang serba baharu kini dibuka untuk tempahan di Malaysia. Ini merupakan kereta sukan elektrik generasi seterusnya daripada Tesla yang telah beberapa kali mengalami penangguhan sejak kali pertama dipertontonkan pada tahun 2017.

Tidak seperti model yang ditunjukkan 9 tahun lalu, Roadster baharu ini hadir dengan rekaan serba baharu dan ditawarkan dalam tiga pilihan varian: Performance, Thrust, dan Rocket.



Jika berminat, anda boleh membuat tempahan awal dengan bayaran pendahuluan RM21,000, manakala baki tempahan perlu dijelaskan dalam tempoh 10 hari.

Walau bagaimanapun, yuran tempahan ini bukannya murah, di mana varian Roadster Thrust memerlukan bayaran mencecah lebih RM1 juta. Perlu diingatkan bahawa bayaran ini hanyalah yuran tempahan dan bukannya harga jualan muktamad kenderaan tersebut.



Yuran tempahan Tesla Roadster di Malaysia

Bagi pasaran tempatan, Tesla Malaysia kini menerima tempahan untuk dua daripada tiga varian yang ditawarkan. Berikut adalah jumlah yuran tempahan yang perlu dibayar:

  • Roadster Performance: RM203,000
  • Roadster Thrust: RM1,009,000
  • Roadster Rocket: Melalui jemputan khas sahaja (by invitation)

Bagi varian asas Performance dan varian pertengahan Thrust, pelanggan boleh membuat bayaran awal sebanyak RM21,000, manakala baki yuran tempahan perlu dijelaskan dalam tempoh 10 hari.

Menurut perjanjian tempahan Tesla, jumlah yang disenaraikan ini bukanlah harga pembelian akhir kenderaan. Tesla menjelaskan bahawa mereka masih dalam proses membangunkan pilihan perkakasan, ciri-ciri, dan spesifikasi Roadster. Oleh itu, harga rasmi masih belum dapat disahkan buat masa ini.

Harga jualan muktamad hanya akan disahkan apabila pelanggan dijemput untuk membuat konfigurasi spesifikasi kereta mereka kelak.

Tesla turut memperincikan bahawa tempahan ini bukanlah tempahan pembelian kenderaan yang sebenar. Apa yang anda bayar pada asasnya adalah untuk meletakkan nama dalam barisan giliran bagi membuat konfigurasi apabila pengeluaran semakin hampir.

Pelanggan juga boleh membatalkan tempahan mereka pada bila-bila masa menerusi Akaun Tesla untuk mendapatkan pemulangan wang penuh, selagi mereka belum membuat konfigurasi dan menandatangani Perjanjian Pembelian rasmi.

Buat masa ini, pengeluaran Roadster baharu ini dijadualkan bermula pada tahun 2028, sekiranya tiada lagi penangguhan. Jadi walaupun anda membuat tempahan sekarang, tiada jaminan anda akan menerima kereta ini pada tahun 2028.

Spesifikasi dan ciri-ciri Tesla Roadster

Tesla Roadster generasi baharu ini dibina khas untuk pemanduan berprestasi tinggi. Di bahagian luar, ia tampil dengan rekaan minimalis dengan lampu depan tersembunyi, bar lampu merentasi bahagian belakang, serta permukaan badan yang rata. Ia turut dilengkapi rim aloi ultra-ringan dengan jejari nipis yang direka untuk kekal kukuh sambil mengekalkan berat pada tahap minimum.

Antara keunikan model ini ialah pilihan kemasan cat Ano White yang menggunakan teknologi aeroangkasa bagi melindungi badan kereta daripada sinar UV dan hakisan. Ia turut dilengkapi cermin gelap Gold Glazed yang diinspirasikan daripada visor bersalut kuprum pada topi keledar angkasawan.

Di dalam kabin, ia dilengkapi hiasan dalaman Ultrawhite dengan kemasan grey microsuede. Bagi mengurangkan berat keseluruhan kenderaan, Tesla memilih untuk menggunakan kawalan manual dan kedudukan kerusi tetap (fixed seating). Kabinnya juga banyak menggunakan bahan ringan seperti magnesium, titanium, dan gentian karbon.

Menurut Tesla, langkah pengurangan berat ini bertujuan memastikan Roadster dapat memberi maklum balas yang pantas terhadap setiap kawalan pemandu.

Tiga varian Tesla Roadster

Roadster Performance (2 Tempat duduk)

Varian Roadster Performance dilengkapi Sistem Sedutan Multi-Mod (Multi-Mode Suction System). Ia menggunakan kipas berkuasa tinggi di bawah casis yang menyedut udara keluar untuk menghasilkan daya mendap (downforce) yang sangat kuat.

Ciri ini membolehkan kereta melekat rapat pada permukaan jalan, walaupun ketika kenderaan sedang berhenti. Tesla mendakwa daya sedutan ini cukup kuat untuk menahan kereta dalam keadaan terbalik. Kipas ini bekerjasama dengan sayap aerodinamik aktif bagi memaksimumkan cengkaman dan prestasi ketika mengambil selekoh.

Roadster Thrust (2 Tempat duduk)

Bagi yang mahukan prestasi lebih tinggi, varian edisi terhad Roadster Thrust menambah pendorong gas sejuk (cold-gas thrusters) di bahagian belakang khas untuk pemanduan litar.

Berbeza dengan enjin roket konvensional yang membakar bahan api, pendorong gas sejuk ini menghasilkan daya tolakan dengan melepaskan gas bertekanan tinggi menerusi nozel. Gas yang keluar menghasilkan daya tindak balas yang menolak kenderaan ke arah bertentangan.

Ini membolehkan Roadster menghasilkan daya tolakan tambahan ke hadapan melebihi apa yang mampu disampaikan oleh motor elektrik menerusi tayar. Tesla mendakwa Roadster Thrust mampu memecut dari 0 hingga 96 km/j (0-60 mph) bawah 1 saat.

Roadster Thrust (1 Tempat duduk)

Bagi mereka yang mahukan sesuatu yang lebih ekstrem, terdapat varian Roadster Rocket yang hanya boleh ditempah melalui jemputan khas.

Berbeza dengan varian Performance dan Thrust yang mempunyai dua tempat duduk, Roadster Rocket direka khas untuk seorang pemandu sahaja. Ia dilengkapi pendorong gas sejuk tambahan yang dipasang di sekeliling perimeter kenderaan, membolehkannya menghasilkan daya tolakan ke pelbagai arah dan bukannya sekadar menolak kereta ke hadapan.

Menurut Tesla, varian Rocket boleh menggunakan pendorong ini untuk menghasilkan bergerak ke atas, membolehkan kenderaan ini terangkat dari tanah seperti sebuah “kereta terbang”.

Pendorong ini turut dilengkapi penggerak elektrik sepenuhnya (all-electric actuators) yang mampu membuat pelarasan mikro dalam tempoh beberapa milisaat. Pelarasan pantas ini membantu menstabilkan kenderaan dan mengawal orientasinya semasa berada di udara.

Walau bagaimanapun, Roadster Rocket tidak diluluskan untuk kegunaan jalan raya awam, dan Tesla menyatakan bahawa varian ini mungkin tidak ditawarkan di semua rantau.

Setakat ini, Tesla masih belum mendedahkan spesifikasi teknikal penuh untuk sistem pendorong versi pengeluaran ini, termasuk tekanan operasi dan kapasiti simpanan gasnya.

Tags: Teslatesla roadster
Putra Aziz

Putra Aziz

POPULAR

Sukar pilih laptop kerja yang tepat? MSI Modern 16S AI+ mungkin selesaikan dilema anda

Sukar pilih laptop kerja yang tepat? MSI Modern 16S AI+ mungkin selesaikan dilema anda

6 October 2026
Cari laptop kerja & gaming berbaloi? Ini sebab MSI Cyborg 15 Max patut jadi pilihan

Cari laptop kerja & gaming berbaloi? Ini sebab MSI Cyborg 15 Max patut jadi pilihan

2 October 2026
Tempahan Tesla Roadster baharu dibuka di Malaysia, boleh ‘terbang’ & pecut bawah 1s

Tempahan Tesla Roadster baharu dibuka di Malaysia, boleh ‘terbang’ & pecut bawah 1s

16 October 2026
Bateri Perodua QV-E dijual berasingan? Ini yang anda perlu tahu tentang pelan sewaan baterinya

Perodua QV-E serendah RM53,499, rebat RM10K dilanjutkan hingga 31 Oktober

17 October 2026
Beli iPhone 18 Pro mengikut gaya anda: Yes tawar lebih banyak pilihan dengan rebat & cashback

Beli iPhone 18 Pro mengikut gaya anda: Yes tawar lebih banyak pilihan dengan rebat & cashback

17 September 2026
Honor 600S 5G, telefon 5G harga RM1,299 dengan bateri 8,100mAh dan kalis air IP69K

Honor 600S 5G, telefon 5G harga RM1,299 dengan bateri 8,100mAh dan kalis air IP69K

14 October 2026

Copyright © 2026 · SoyaCincau.com
Mind Blow Sdn Bhd (1076827-P)

  • URUSAN PENGIKLANAN
  • PENAFIAN

Copyright © 2026 · SoyaCincau.com – Mind Blow Sdn Bhd (1076827-P)

  • URUSAN PENGIKLANAN
  • PENAFIAN