Jumlah hari semenjak PKP dilaksanakan

HARI

PKP bermula pada: 18 Mac, 2020

PKPP dijangka tamat dalam

HARI

PKPP dijangka ditamatkan pada 31 Aug, 2020

Ikuti liputan COVID‑19 kami di sini

AirAsia gantung semua penerbangan Malaysia, tawar tukar tarikh atau wang dikembalikan

AirAsia mengumumkan penggantungan sementara dan mengurangkan kekerapan buat hampir semua penerbangan dalam rangkaiannya yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Kumpulan AirAsia serta AirAsia X.

Berdasarkan kenyataan dibuat Kumpulan AirAsia Berhad, ia dilakukan berikutan penularan wabak COVID-19 di hampir setiap negara dan usaha pihak syarikat menyokong tindakan kerajaan yang mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan.

Tindakan ini melibatkan beberapa negara iaitu Malaysia, Filipina, Thailand, Indonesia dan India. Di Malaysia, semua penerbangan domestik dan antarabangsa dengan kod AK, digantung penerbangan antara 28 Mac hingga 21 April 2020. Manakala penerbangan AirAsia X dengan kod D7, digantung penerbangan antara 28 Mac hingga 31 Mei 2020.

Ourshop dan Teleport terus beroperasi

Pihak AirAsia turut memaklumkan, platform e-dagang AirAsia, Ourshop serta platform logistik dan kargo, Teleport akan terus beroperasi seperti biasa. Teleport akan menggunakan pesawat penumpang untuk menghantar bantuan perubatan dan peralatan perlindungan khas untuk hospital serta petugas barisan hadapan di destinasi terpilih. Ia merupakan komitmen AirAsia untuk membantu pihak kerjaaan berkaitan memberi bantuan penghantaran balik penumpang serta barangan. 

Tukar tarikh tiket penerbangan atau wang dikembalikan

Sementara itu, bagi pelanggan yang telah menempah tiket sepanjang tempoh penggantungan dijalankan, mereka akan segera dimaklumkan melalui e-mel dan SMS berhubung perkara ini.

Pelanggan yang terjejas boleh membuat pilihan untuk menukar tempahan penerbangan kepada dua pilihan iaitu Akaun Kredit yang boleh ditebus dalam masa 365 hari, atau memilih tarikh baharu tanpa had dan bayaran untuk penerbangan ke lokasi sama sebelum 31 Oktober 2020. Penukaran boleh dibuat menerusi chatbot, AVA di airasia.com atau support.airasia.com

AirAsia juga memaklumkan bahawa proses penukaran akan mengambil masa sekurang-kurangnya 30 hari daripada tarikh permohonan dilakukan. Untuk panduan, terma dan syarat orang ramai boleh terus ke laman web ini.

BACA  Imri Mokhtar kembali ke TM sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Esekutif

Pemotongan gaji pengurusan kanan

Dalam pada itu, AirAsia turut melaksanakan beberapa tindakan untuk kelangsungan perniagaan berikutan kekangan operasi sepanjang penularan wabak COVID-19. Salah satunya, pemotongan gaji antara 100 dan 15 peratus buat ahli pengurusan kanan dan kakitangan senior Kumpulan AirAsia yang dilaksanakan atas persetujuan semua pihak.

Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini, melancong bukanlah satu pilihan yang bijak. Buat mereka yang telah membeli tiket dalam tempoh dinyatakan sila lakukan penukaran berdasarkan pilihan yang diberikan oleh AirAsia.

Sumber : AirAsia