Jumlah hari semenjak PKP dilaksanakan

HARI

PKP bermula pada: 18 Mac, 2020

PKPP dijangka tamat dalam

HARI

PKPP dijangka ditamatkan pada 31 Aug, 2020

Ikuti liputan COVID‑19 kami di sini

Telefon bajet Apple terbaru sudah tiba: iPhone SE 2020

Peminat iPhone dengan bajet rendah kini boleh kembali berharap. Apple hari ini telah memperkenalkan telefon pintar bajet terbaru mereka, dipanggil sebagai iPhone SE generasi ke-2. Ia menggunakan konsep sama seperti iPhone SE sebelum ini, badan rekaan lama dengan perkakas dalaman berkuasa terkini.

Cakap-cakap sebelum ini memang benar. Telefon pintar iPhone SE yang baru ini menggunakan badan yang sama dengan iPhone 8, tetapi dikuasakan cip A13 Bionic yang terdapat di dalam siri iPhone 11. Satu kitar semula yang pasti menggembirakan ramai peminat.

Bermula dengan skrin. Ia menggunakan paparan Retina HD berukuran 4.7-inci. Badannya memiliki bingkai aluminium dan menggunakan kaca sebagai badan belakang. Di bawah skrin ini, terdapat pemngimbas capjari fizikal yang sedia dikenali ramai, Touch ID. Sebab itu, telefon ini tiada Face ID yang menjadi standard sejak iPhone X.

Dengan badan seperti iPhone 8, hayat bateri di iPhone SE ini juga diberitakan sama. Ia menyokong pengecasan pantas 18W melalui sambungan Lightning, tetapi di dalam kotak ia diberikan pengecas 5W sahaja. Selain itu, iPhone SE juga menyokong pengecasan wayarles.

Kamera adalah kekurangan terbesar di iPhone SE. Ia hanya ada satu kamera belakang iaitu kamera 12MP F1.8, tiada kamera ultra lebar dan tiada juga telefoto. Tetapi ia mempunyai penstabil imej optikal (OIS) dan mampu merakam video sehingga 4K 60fps.

Di hadapan, ia dipateri kamera 7MP F2.2 yang menyokong panggilan Facetime HD. Rakaman video pula setakat 1080p 30fps. Tiada sokongan animoji dan memoji kerana ia tiada kamera IR di hadapan.

Dengan kuasa A13 Bionic, iPhone SE 2020 turut dilengkapi banyak teknologi terkini. Ia datang dengan Bluetooth 5.0, WiFi 6, NFC, VoLTE serta Gigabit LTE. Selain itu, telefon ini menggunakan pembesar suara stereo dan ia kalis air dan debu IP67.

BACA  Nokia C2 adalah telefon pintar termurah dengan RAM kecil dan Android lama

Terdapat tiga warna ditawarkan untuk iPhone SE 2020 iaitu putih, hitam dan merah (RED). Di dalam kotak, selain telefon pintar, ia datang bersama pengecas 5W, kabel USB ke Lightning dan Earpod Lightning.

iPhone SE 2020 akan mula dijual di Amerika Syarikat pada 24 April, dengan tempahan awal dibuka pada 17 April. Belum ada tarikh jualannya di Malaysia tetapi Stor Online Apple Malaysia telah menyenaraikan harganya seperti berikut:

  • iPhone SE 2020 64GB – RM1,999
  • iPhone SE 2020 128GB – RM2,199
  • iPhone SE 2020 256GB – RM2,699

Jika kilang pengeluaran Apple beroperasi sepenuhnya, kita pasti dapat melihat ketibaan iPhone SE 2020 di Malaysia tidak lama lagi. Bagi pengguna iPhone 8 ke bawah, ini adalah satu naiktaraf yang berbaloi kerana menggunakan kuasa terbaru cip A13 Bionic. Tetapi pengguna iPhone X, pasti sukar kerana ia kelihatan kepada turun taraf.

Apa pula pilihan anda?

Sumber: Apple