Jumlah hari semenjak PKP dilaksanakan

HARI

PKP bermula pada: 18 Mac, 2020

PKPP dijangka tamat dalam

HARI

PKPP dijangka ditamatkan pada 31 Dec, 2020

Ikuti liputan COVID‑19 kami di sini

Pemasangan internet di rumah kini dibenarkan tetapi terhad di zon hijau

Kerajaan kini memberi kebenaran untuk pemasangan dan penyelenggaraan internet di rumah, kerana ia dilihat sebagai satu keperluan asas. Lebih-lebih lagi penggunaan internet di rumah melonjak tinggi selepas apabila orang ramai diminta untuk duduk di rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sejak 18 Mac.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), telah mengeluarkan kenyataan berkenaan perkara ini. Mereka menyatakan, sebarang kerja pemasangan jalur lebar talian tetap, pembaikan, penyelenggaraaan rangkaian dan pemasangan infrastruktur baharu, boleh dijalankan. Tetapi perlu mengambil kira tahap keselamatan para pelanggan dan pekerja syarikat penyedia perkhidmatan, serta situasi semasa di lokasi yang dikenal pasti berisiko tinggi dengan jangkitan COVID-19.

Secara am, kerja pemasangan boleh dilakukan di premis pelanggan jika terletak di dalam zon hijau, yakni tiada sebarang kes positif COVID-19. Tetapi jika ia terletak di dalam zon kuning dan merah, ia tidak dibenarkan sama sekali.

Untuk sebarang masalah di zon kuning dan merah, penyedia perkhidmatan hanya boleh menyelesaikan masalah di luar premis sahaja. Tidak dibenarkan memasuki premis kecuali ia sangat perlu dan kritikal sahaja.

Sebelum dibenarkan bekerja, pekerja syarikat perkhidmatan perlu mengemukakan deklarasi kesihatan dahulu. Mereka juga perlu sentiasa memakai topeng muka dan mengamalkan penjarakan sosial.

Bagi pengguna di zon kuning dan merah, mereka digalakkan untuk mendapatkan perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar yang tidak memerlukan pemasangan di rumah.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sehingga tengah hari semalam 19 April 2020, semua kawasan di Semenanjung Malaysia adalah zon kuning dan merah, kecuali di 3 daerah. Daerah tersebut ialah Yan di Kedah, Machang di Kelantan dan Hulu Terengganu di Terengganu.

BACA  Oppo Watch akan dilancarkan di Malaysia bersama telefon Find X2 Pro berwarna baru

Manakala Sabah dan Sarawak mencatatkan hampir separuh kawasan hijau. Hanya 5 daerah diisytihar sebagai kawasan merah iaitu Kuching dan Kota Samarahan di Sarawak, serta Kota Kinabalu, Lahad Datu dan Tawau di Sabah.

Sumber: Berita Harian