PKP: Pelajar IPT Boleh Mula Pulang Ke Kampung Bermula 27 April 2020

Merujuk pada sidang media harian MKN bertarikh 24 April 2020, pihak mereka telah mengumumkan yang kerajaan akan membenarkan pelajar IPT dibawah kelolaan KPT yang berhasrat untuk pulang ke kampung untuk lakukan perjalanan.

Operasi ini akan diterajui oleh Kementerian Pengajian Tinggi yang akan merangka SOP paling efisien bersama-sama KKM bagi menggerakkan puluhan ribu pelajar IPT serata negara. Pihak MKN tidak berkongsi secara khusus SOP yang akan diguna pakai sebaliknya meminta rakyat menunggu pengumuman KPT.

Namun, antara intisari penting yang dikongsikan adalah waktu perjalanan dibenarkan antara 9 malam hingga 9 pagi bagi mengelakkan kesesakan. Pelajar yang terlibat akan dibawa menaiki bas yang kosnya ditanggung sepenuhnya kerajaan ke balai polis daerah ataupun pejabat daerah destinasi pelajar tersebut sebelum dihantar terus ke rumah penjaga masing-masing oleh petugas frontliner.

Sepanjang operasi pergerakan ini, KPT akan pastikan jarak sosial terjaga. Contohnya, Hanya 50% kapasiti sebuah bas akan digunakan dan buat pelajar yang pulang ke Sabah & Sarawak, mereka akan dikuarantin wajib oleh kerajaan negeri masing-masing.

Untuk yang berkenderaan, mereka dibenar untuk memandu sendiri tapi dengan syarat hanya seorang sahaja boleh berada di dalam kenderaan dan tidak boleh bergerak merentasi negeri. Mereka juga dikehendaki mendapatkan kelulusan pihak polis sebelum lakukan perjalanan.

Dalam fasa pertama pergerakkan, hanya pelajar yang destinasinya dalam zon hijau sahaja dibenarkan. Buat yang lain, mereka perlu menunggu MKN merangka SOP yang lebih terperinci untuk bolehkan mereka pulang ke destinasi selain zon hijau.

Seramai 53 ribu pelajar dijangka pulang ke kampung dan itu melibatkan 85 peratus. Baki 15 peratus lagi dikatakan memilih untuk kekal di kampus atas tujuan-tujuan tertentu. Buat golongan ini, kerajaan akan terus menanggung makan minum mereka sepanjang PKP ini.