Beberapa hari lepas, Xiaomi telah memuat naik sebuah poster yang menunjukkan gambar kabur sebuah kenderaan. Orang ramai mula berspekulasi bahawa Xiaomi akan mula menghasilkan kenderaan.
Ternyata jangkaan tersebut meleset, tetapi tidak jauh tersasar. Ini kerana Xiaomi sebenarnya memperkenalkan sebuah kereta kawalan jauh, dari rekaan Suzuki Jimny dengan skala 1:16.
Kereta kawalan jauh ini akan ditawarkan menerusi laman pendanaan awam, Xiaomi eCommerce. Harga rasimnya ditetapkan pada RMB199 (~RM120), tetapi penderma awal di laman pendanaan tersebut boleh mendapatkannya pada harga RM179 (~RM108) sahaja. Program pendanaan ini akan dibuka bermula 1 Julai 2020, pukul 10 pagi.
Cakap-cakap tentang Xiaomi menghasilkan kenderaan bukanlah perkara baharu. Ini ekrana Xiaomi pernah memfailkan permohonan untuk menjual kereta elektrik di India. Bagaimanapun, Xiaomi masih belum ada sebarang model kenderaan semasa membuat permohonan tersebut.
Tahun lepas pula, Xiaomi bekerjasama dengan FAW, sebuah syarikat pengeluar kenderaaan yang dimiliki oleh kerajaan China. Kerjasama itu menyaksikan model kenderaan Bestune T77 SUV, dilengkapi sistem arahan suara bagi produk pintar Xiaomi di rumah, terus dari dalam kenderaan.
Perkara ini ditambah lagi apabila Xiaomi mendaftar tanda jenama di China, yang bermaksud ‘Gabungan Kenderaan Xiaomi‘.
Memandangkan kenderaan dengan sambungan 5G menjadi salah satu teknologi yang kuat diperkatakan akan datang, tidak mengejutkan jika syarikat teknologi gergasi seperti Xiaomi turut berminat untuk menghasilkan kenderaan mereka sendiri.
Sumber: SCMP