Jumlah hari semenjak PKP dilaksanakan

HARI

PKP bermula pada: 18 Mac, 2020

PKPP dijangka tamat dalam

HARI

PKPP dijangka ditamatkan pada 31 Mac, 2021

Ikuti liputan COVID‑19 kami di sini

Tablet Samsung dikuasakan Snapdragon 865+ akan tiba di Malaysia bulan ini

Samsung turut melancarkan tablet baru berkuasa tinggi, Galaxy Tab S7 dan S7+ di pentas pelancaran Galaxy Note 20. Tablet yang dikuasakan cip terbaik Qualcomm, Snapdragon 865+ kini dilaporkan akan dijual di Malaysia pada hujung bulan ini.

Menurut Samsung Malaysia, Galaxy Tab S7 dan S7+ akan mula dijual di Malaysia pada 28 Ogos 2020. Ia hadir dalam tiga warna iaitu hitam, perak dan gangsa.

Bagaimanapun, lawatan ke laman web Samsung Malaysia dilihat menyenaraikan satu model sahaja, Galaxy Tab S7 WiFi dengan hanya satu warna, Hitam.

Galaxy Tab S7 memiliki skrin LCD berukuran 11-inci, dengan resolusi 2560×1600. Skrin ini memiliki kadar penyegaran 120Hz dan dipadankan dengan empat pembesar suara yang ditala oleh AKG.

Keunikan tablet siri S adalah S Pen seperti siri Note. S Pen baru di Tab S7 kini dipertingkat dengan kadar lengah serendah 9ms dan ia boleh dicas mudah dengan melekatkannya secara magnetik di belakang tablet.

Kuasa pemproses Galaxy Tab S7 digerakkan oleh cip Snapdragon 865+ bersama RAM sehingga 8GB dan storan sehingga 512GB. Ia turut menerima kad mikroSD sehingga 1TB. Bateri di dalamnya sebesar 8,000mAh dan menyokong pengecasan pantas 45W melalui USB-C.

Terdapat dua kamera di belakang tablet ini, gandingan kamera utama 13MP dan kamera ultra lebar 5MP. Kamera hadapannya pula 8MP, terletak di dalam lubang di sudut atas skrin.

Untuk rujukan, Galaxy Tab S7 dijual di Amerika Syarikat dengan harga dari USD 649 (~RM 2,720) untuk versi WiFi, manakala versi 5G pula dari USD 849 (~RM3,559). Dijangka harga rasmi di Malaysia akan lebih rendah dari ini.

BACA  Perdana Menteri akan buat pengumuman hari Isnin, untuk ketatkan PKPB?