U Mobile, Waze dan SMART bekerjasama sediakan navigasi GPS di dalam terowong

Pengguna aplikasi navigasi Waze tidak akan lagi kehilangan arah di dalam Terowong SMART. Syarikat telekomunikasi U Mobile, telah bekerjasama dengan Waze dan Terowong SMART (SMART Tunnel) untuk menyediakan ketersambungan GPS di dalam terowong tersebut.

Perkara ini menjadi kenyataan dengan memasang Waze Beacons di dalam Terowong SMART. Ia membolehkan peranti yang berhubung menerima navigasi yang lancar dan berterusan, walaupun penerimaan isyarat GPS yang lemah di dalam terowong.

Pengguna hanya perlu mengaktifkan Bluetooth di peranti untuk menerima isyarat ini. Setakat ini, hampir 240 Waze Beacons telah berjaya dipasang di terowong sepanjang 5.2km.

Pengurus Negara Waze, Kelvin Sim berkata, “Waze bukan sekadar memberikan panduan navigasi kepada pemandu tetapi juga membantu di dalam menyelesaikan cabaran pengangkutan serta berganding bahu di dalam meningkatkan kualiti perjalanan di atas jalan raya. Dengan 30,000 pemandu menggunakan Terowong SMART setiap hari, kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan U Mobile dan SMART bagi meringankan kesesakan lalu lintas, serta mengurangkan kekeliruan yang diakibatkan oleh kehilangan isyarat GPS.”

Dengan pemasangan Waze Beacons ini, Terowong SMART menjadi terowong dua tingkat pertama di dunia yang dipasang peranti ini untuk memberikan ketersambungan navigasi di dalam terowong. Waze berharap untuk mengembangkan lagi program Waze Beacons ke kawasan lain di Malaysia dan Asia Tenggara.

U Mobile memberikan data Waze percuma tanpa had untuk pelanggan pelan Unlimited Mobile Internet (UMI), seperti UMI 20, UMI 30 dan UMI 38. Manakala mereka yang melanggan pelan data tanpa had seperti GX30, GX38, GX50, GX68, P79, P99 dan P139 pula, dapat menikmati penggunaan Waze tanpa perlu bimbang kehabisan data.

Pelan Unlimited Mobile Internet (UMI) U Mobile