Ada 5 laptop baru Acer yang perlu anda periksa sebab harganya menarik

Acer Malaysia telah umumkan 5 produk baru sebagai kemas kini terhadap penawaran laptop mereka di Malaysia. 5 produk yang boleh anda temui dalam pasaran bermula hari ini ialah:

  • Acer Nitro 5
  • Acer Spin 5
  • Acer Swift 1
  • Acer Aspire 5 & Aspire 3

Ringkasnya, Acer memperkenalkan produk baru dalam segenap lapisan pengguna. Golongan gamers dan pengguna yang perlukan mesin ber-specs tinggi, mereka ada Nitro 5.

Golongan pekerja yang perlukan komputer untuk pacu produktiviti bolehlah pergi ke Aspire dan juga Spin, kalau mobiliti adalah sesuatu yang penting. Acer Swift 1 pula sangat sesuai untuk kerja-kerja ringan.

Acer Nitro 5

Ini adalah laptop gaming Acer pertama yang diperkasa CPU AMD Ryzen 4000. Anda boleh bergaming dengan paparan 15.6″ FHD pada refresh rate 144Hz. Atas papan utamanya, ia ada Ryzen 7 4800H yang bergandingan bersama GPU GeForce GTX 1650.

Anda beroleh RAM seluas 8GB yang boleh diperluas bersama-sama dengan ruang penyimpanan SSD NVMe seluas 512GB.

Walaupun daripada fizikaliti, Nitro 5 (2020) ini miliki rupa hampir sama dengan edisi 2019, Acer kata yang bahagian kawal selia haba laptop ini 25% lebih baik berbanding sebelumnya, melalui penggunaan dwikipas penyejuk dan rekaan lubang ekzos yang lebih baik.

Sehingga 30 September 2020, Nitro 5 dijual pada harga RM3,999 sebelum ia kembali kepada harga asalnya iaitu RM4,099.

Acer Spin 5

Kalau anda cari laptop yang paling ringan dalam kalangan ahli yang diumumkan, Acer Spin 5 adalah pemenangnya. Ia cuma seberat 1.2kg dan spesifikasinya khas untuk digital nomad yang sentiasa bergerak daripada lokasi ke lokasi untuk bekerja.

Ia adalah laptop 2-dalam-1 dengan paparan boleh kilas 360 darjah. Daripada laptop, ia boleh berubah menjadi tablet yang ada paparan 13.5” beresolusi QHD. Anda boleh gunakan stailus yang didatangkan khas dengannya pada paparan peka sentuhan.

Untuk spesifikasi teknikal, Spin 5 diperkasa sama ada Intel Core i5 dan i7 generasi ke-10 bersama-sama RAM sehingga 16GB. Ruang penyimpanan laptop ini agak besar, anda boleh sumbat apa saja dalam SSD 512GB daripada jenis NVMe padanya.

Harga jualan Acer Spin 5 adalah seperti berikut:

  • Acer Spin 5 (Core i7) – RM5,299
  • Acer Spin 5 (Core i5) – RM4,399

Sehingga 30 September ini, anda akan beroleh rebat RM100 untuk membeli mana-mana laptop ini. Kemudian, anda boleh memilih pemberian percuma sama ada tetikus berkabel, wayarles ataupun headfon TWS dan untuk 30 pembeli terawal, anda juga akan terima speaker Bluetooth percuma.

Acer Swift 1

Untuk yang ada bajet kurang RM2,000, anda boleh pertimbangkan Acer Swift 1 sebab dalam tempoh promosi Acer Day yang berlangsung sehingga 30 September 2020, ia dijual pada harga RM1,999 sahaja.

Pada harga sebegitu, anda terima laptop dengan skrin sebesar 14” beresolusi FHD.

Atas papan utama ada CPU Intel Pentium Silver N5030 dan RAM seluas 4GB. Storan jenis SSD NVMe sebesar 256GB hadir bersama-sama laptop ini untuk anda menyimpan data.

Ditujukan khas untuk pengguna kasual, Swift 1 didatangkan dengan Microsoft Office Home & Student 2019 percuma. Ini bukanlah Office 365 yang perlu anda langgan untuk satu tempoh, sebaliknya percuma sepanjang hayat.

Port yang boleh anda temui pada badannya adalah seperti HDMI, 2 USB-A, 1 USB-C, dan 1 jek audio 3.5mm.

Acer Aspire 3 & Aspire 5

Siri Aspire adalah laptop tradisional untuk kegunaan pejabat dan sedikit gaming ringan. Aspire 3 dan Aspire 5 secara kasarnya berbeza daripada segi saiz paparan, dengan Aspire 5 miliki panel 14” FHD manakala Aspire 3 ada panel 15.6” FHD.

Aspire 3
Aspire 3

Kelebihan Aspire 5 adalah ia ada sekeping storan Intel Optane Memori 32GB, manakala Aspire 3 ada kad GPU tersendiri iaitu GeForce MX330. Kedua-dua mereka ada storan seluas 512GB.

Aspire 5
Aspire 5

Sekiranya anda perlukan jek RJ45 untuk sambungan Internet berkabel, hanya Aspire 3 milikinya tapi Aspire 5 ada Wi-Fi 6 untuk sambungan Wi-Fi yang lebih pantas.

Uniknya produk ini adalah mereka miliki harga jualan yang sama iaitu RM2,599.