Jumlah hari semenjak PKP dilaksanakan

HARI

PKP bermula pada: 18 Mac, 2020

PKPP dijangka tamat dalam

HARI

PKPP dijangka ditamatkan pada 31 Dec, 2020

Ikuti liputan COVID‑19 kami di sini

Samsung Galaxy Z Fold 2 baiki kelemahan terbesar Galaxy Fold

Selepas memperkenal secara ringkas di acara Galaxy Unpacked bulan lepas, Samsung kini melancarkan secara rasmi tablet dengan skrin boleh lipat generasi kedua mereka, Galaxy Z Fold 2. Samsung kini menyelaraskan nama peranti dengan skrin boleh lipat, menjadi siri Galaxy Z.

Saya telah menguji sendiri Galaxy Fold tahun lepas dan mendapati satu masalah besar untuk menggunakannya. Skrin hadapan yang sangat kecil. Perkara ini telah dibaiki di Galaxy Z Flip 2 di mana ia memiliki skrin hadapan luas, sebesar 6.2-inci.

Samsung juga telah menaik taraf skrin di dalam dengan saiz lebih besar, lubang lebih kecil dan kadar penyegaran lebih pantas. Lebih penting lagi, ia menggunakan teknologi engsel serba baharu agar boleh dilipat lebih banyak kali untuk pelbagai kegunaan.

Harga dan Tarikh Jualan

Samsung Galaxy Z Fold 2 akan dijual di hampir 40 negara termasuk Amerika Syarikat dan Korea Selatan pada 18 September 2020. Tempahan awal akan dibuka di beberapa negara bermula dari 1 September 2020. Malaysia nampaknya tidak termasuk dalam gelombang pertama tempahan awal ini.

Terdapat dua pilihan warna disediakan dengan warna tema Samsung untuk tahun ini, Mystic Black dan Mystic Bronze. Samsung juga menyediakan pilihan warna khas untuk engsel, tetapi ia hanya terdapat di 21 negara di mana dan Malaysia tidak termasuk di dalamnya. Terdapat 4 warna boleh dipilih untuk engsel ini iaitu Metallic Silver, Metallic Red, Metallic Blue dan Metallic Gold.

Telefon ini akan dijual dengan RAM 12GB dan storan 256GB pada harga USD 1,999 (~RM 8,281) di Amerika Syarikat, EUR 1,949 (~RM9,652) di Jerman, dan GBP 1,799 (~RM 10,019) di United Kingdom. Khas di China, Hong Kong dan Taiwan, ia akan turut ditawarkan dengan storan lebih besar, 512GB.

BACA  2 ahli politik ini baru pulang dari Sabah positif COVID-19, risikokan ratusan orang sekelilingnya

Buat masa ini, harga dan tarikh jualan di Malaysia belum diumumkan. Tetapi melihatkan harga di Amerika Syarikat, kita boleh simpulkan harga di Malaysia akan lebih murah berbanding Galaxy Fold semasa dilancarkan tahun lepas, iaitu RM 8,388. Harga lebih rendah ini mungkin kerana storannya yang lebih kecil, di mana Galaxy Fold datang dengan storan 512GB.

Samsung turut memperkenalkan edisi terhad Thom Browne berharga USD 3,299 (~RM13,666) dan mula dijual pada 25 September 2020. Edisi terhad ini akan datang bersama fon kepala Galaxy Buds Live dan jam Galaxy Watch 3 dalam kemasan Thom Browne yang sama.

Spesifikasi

Skrin hadapan dan skrin dalam boleh lipat di Galaxy Z Fold 2 kini lebih besar. Di hadapan, ia menggunakan skrin Super AMOLED HD+ berukuran 6.2-inci, dengan resolusi 2260×816. Ini memberikan pengalaman penuh seperti menggunakan telefon pintar biasa, berbanding skrin 4.6-inci pada telefon generasi pertama.

Di dalam, skrin boleh lipatnya memiliki keluasan 7.6-inci apabila dibuka, menggunakan paparan Dynamic AMOLED 2X dengan resolusi tinggi QXGA 2208×1768. Skrin ini memiliki kadar penyegaran 120Hz, pertama seumpamanya di skrin boleh lipat dan ia masih menggunakan Ultra Thin Glass atau kaca ultra nipis yang memberikan rasa lebih premium dari plastik.

Prestasi telefon ini digerakkan oleh pemproses Sanpdragon 865+, bersama RAM 12GB dan storan dalaman UFS 3.1 sehingga 512GB. Ia turut menyokong rangkaian 5G dwi-mod serta WiFi 6. Penggunaan dwi-sim boleh dibuat menggunakan satu kad sim fizikal dan satu lagi e-SIM.

Samsung giat mengiklankan teknologi engsel serba baharu, menggunakan mekanisma CAM yang membolehkan ia dibuka pada pelbagai sudut. Mereka juga menambah sejenis fabrik menyapu atau sweeper, untuk menghalang debu dan kotoran dari masuk ke dalam engsel.

BACA  Cip Exynos yang sedang dibangunkan Samsung ini hebatnya mengalahkan Snapdragon 865+

Dengan kebolehan paparan pelbagai sudut, ia menambah lebih banyak kegunaan untuk peranti dengan skrin boleh lipat ini. Ia boleh diletakkan di atas meja dan menggunakan separuh skrin untuk mengambil gambar, melihat hasil tangkapan di separuh skrin lain dan menonton video dengan mudah mengikut sudut keselesaaan pengguna.

Selain itu, Samsung turut menekankan betapa penggunaan pelbagai aplikasi menjadi lebih mudah di Galaxy Z Fold 2. Ia boleh membuka sehingga 3 aplikasi serentak, yang boleh diubahsuai saiz jendela mengikut kesesuaian. Antara penambahan baru ialah kebolehan merakam skrin secara individu dan dikongsi antara pelbagai aplikasi.

Di bahagian kamera, ia menggunakan tiga kamera di belakang, menggabungkan kamera utama 12MP F1.8 dengan teknologi autofokus dwi-piksel dan OIS, kamera ultralebar 12MP F2.2 dan kamera telefoto 12MP F2.4 dengan keupayaan zum optikal 2x dan OIS.

Di dalam pula, ia kini hanya ada satu kamera 10MP F2.2 yang terletak di dalam lubang kecil. Ini menjadikan skrin di dalam mempunyai lebih ruang. Kamera 10MP yang sama turut digunakan di skrin hadapan. Malangnya, kamera ini hanya boleh merakam video sehingga resolusi 4K sahaja, tidak seperti siri Galaxy S20 dan Galaxy Note 20 yang boleh merakam video sehingga 8K.

Untuk tenaga, ia disalurkan dari bateri berkapasiti 4,500mAh melalui sistem 2-bateri. Ia menyokong pengecasan pantas 25W serta pengecasan wayarles. Telefon ini turut dilengkapi pembesar suara stereo serta kebolehan pembayaran Samsung Pay.

Sama seperti telefon boleh lipat Samsung yang lain, Galaxy Z Fold 2 tidak kalis air dan ia juga tiada jek audio 3.5mm serta tidak menyokong kad mikroSD. Pengimbas capjari pula terletak di sisi, bergabung dengan butang kuasa.

BACA  Gambaran rupa telefon Samsung Galaxy S21 dan S21 Ultra akan datang

Baca lebih lanjut mengenai Galaxy Z Fold 2 di laman produknya di sini.