Apple kini telah melancarkan jam pintar terbaru mereka, Apple Watch series 6 dan ia dilengkapi dengan lebih banyak pemantau kesihatan. Selain itu, ia juga datang dalam tali jam serba baru yang menjanjikan lebih keselesaan di pergelangan tangan pengguna.
Sama seperti model sebelumnya, Apple Watch series 6 hadir dalam dua saiz, 40mm dan 44mm. Paparan ‘Always-On Retina‘ kini 2.5 kali lebih cerah dari series 5, menjadikannya lebih mudah dilihat di bawah terik cahaya matahari. Ia juga menggunakan pemproses baru Apple S6 SiP 2-teras, dengan prestasi 20% lebih baik dari cip S5 di series 5.
Badan jam ini datang dalam jenis aluminium dengan pilihan warna perak, kelabu atau emas. Kini ia turut ditawarkan dalam warna badan baru, (Product)Red bersama tali jam merah. Jika mahu lebih premium, ia juga boleh didapati dalam badan besi tahan karat berwarna graphite atau emas kuning.
Fungsi baru yang menjadi tajuk utama pelancaran Apple Watch series 6 ini ialah sensor Oksigen di dalam Darah. Di belakang badan jam, ia kini dipasang empat LED bersama empat fotodiod. Digabungkan dengan algoritma pengiraan tersendiri, Apple Watch ini boleh mengesan tahap oksigen di dalam darah dengan ketepatan sekitar 70-100%. Pengesanan ini boleh dibuat apabila diperlukan atau secara automatik, walaupun semasa tidur.
Apple juga telah bekerjasama dengan kumpulan pengkaji untuk membuat kajian kesihatan tentang bagaimana tahap oksigen boleh digunakan di dalam pelbagai aplikasi kesihatan. Ini termasuk menggunakan denyutan nadi dan tahap oksigen di dalam darah, bagi mengesan tanda-tanda awal penyakit pernafasan seperti influenza dan COVID-19.
Dengan antaramuka WatchOS 7, terdapat fungsi baru Family Setup yang membenarkan penggunaan Apple Watch tanpa dihubungkan ke iPhone. Ia direka untuk penggunaan kanak-kanak dan warga emas, di mana pengguna iPhone lain boleh membantu menetapkan penggunaan Apple Watch bersama ahli keluarga lain, untuk memantau kesihatan dan perkhidmatan kecemasan.
Family Setup juga membenarkan ibu bapa menerima notis tentang kedudukan anak-anak mereka. Ia juga boleh digunakan untuk mengesan jika orang tua terjatuh. Fungsi ini hanya boleh digunakan di dalam Apple Watch versi selular sahaja. Ia akan diterima oleh pengguna syarikat telekomunikasi terpilih di China, Perancis, Jerman, Hong Kong, Jepun, Poland, Sepanyol, Switzerland, Taiwan, Thailand, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Jam Apple yang baru kini memiliki pengecasan lebih pantas, di mana pengecasan penuh boleh dicapai tidak sampai 1.5 jam. Beberapa pengoptimuman telah dilakukan untuk memanjangkan hayat bateri semasa membuat aktiviti kecergasan. Jam ini juga mengekalkan kekalisan air sehingga 50 meter, menjadikannya sesuai digunakan semasa berenang.
Bagi tali jam baru pula, Apple memperkenalkan Solo Loop. Ia adalah tali jam sarung yang elastik, diperbuat dari silikon lembut dan benang bersirat.
Buat masa ini, tarikh jualan Apple Watch series 6 di Malaysia masih belum diketahui. Tetapi Stor Online Apple Malaysia telah menyenaraikan harga rasmi untuk jualan di Malaysia.
Aluminium + Sport Loop
40mm GPS – RM1,749
40mm GPS + Selular – RM2,199
44mm GPS – RM1,899
44mm GPS + Selular– RM2,349Stainless Steel + Sport Loop
40mm GPS + Selular – RM2,999
44mm GPS + Selular – RM3,249
Di dalam Stor Online Apple Malaysia juga, mereka menyenaraikan Apple Watch series 3 sebagai jam pintar paling murah masih dijual, dari harga RM849 untuk versi 38mm dan RM999 untuk versi 42mm. Apple juga turut mengumumkan Apple Watch SE dalam majlis yang sama, sebagai jam pintar kelas pertengahan dengan harga dari RM1,199 untuk versi 40mm dan RM1,349 untuk versi 44mm. Apple Watch SE dikuasakan cip Apple S5 dan ia tidak memiliki ‘Always-On Display’ serta ECG.