Huawei akan melancarkan telefon pintar flagship terbaru mereka, siri Mate 40 pada hari Khamis ini, 22 Oktober 2020. Ia dilihat sebagai salah satu telefon pingar flagship terakhir akan dilancarkan pada tahun 2020. Malah, ia mungkin juga telefon Huawei terakhir dilengkapi pemproses Kirin.
Tetapi sebelum tiba tarikh pelancaran, telah muncul gambaran terbocor mengenai rupa sebenar telefon pintar ini. Ia dikongsi oleh salah seorang pembocor berita terkenal, Roland Quandt. Gambar ini menunjukkan, modul kamera belakang masih mengekalkan bentuk bulat, sama seperti di siri Mate 30.
Menurut Roland, Mate 40 Pro akan memiliki skrin melengkung di sisi dari jenis OLED 6.76-inci beresolusi 2772×1344. Sebelum ini, khabar angin menyatakan ia akan datang dengan kadar penyegaran 120Hz tetapi masih tiada pengesahan.
Dari gambar ini juga, dapat dilihat Huawei mengembalikan butang kawalan bunyi di sisi, serta butang kuasa yang masih kekal berwarna merah.
Huawei Mate 40 akan menggunakan pemproses Kirin 9000 5nm 8-teras, yang menggunakan teras Cortex-A77 berkuasa tinggi. Ia dikatakan lebih berkuasa dari cip Snapdragon 865+. Tetapi akibat sekatan kerajaan Amerika Syarikat (AS), Kirin 9000 dilaporkan akan menjadi cip terakhir dihasilkan oleh Hi-Silicon bersama TSMC.
Huawei juga dijangka akan melancarkan hanya model Mate 40 Pro di Eropah dengan RAM 8GB dan storan UFS 3.1 256GB, tanpa ruang storan tambahan. Roland menyatakan, Huawei akan memperkenal lebih banyak model di China, antaranya Mate 40 RS dan Mate 40 Pro+.
Dalam berita lain, seorang lagi pembocor berita Ice Universe, telah berkongsi gambaran mengenai satu lagi model Mate 40 iaitu edisi khas Porsche Design. Ia menggunakan modul kamera belakang berbentuk oktagon dengan 6 lubang. Berkemungkinan besar, ini adalah Mate 40 RS, menggantikan tempat Mate 30 RS yang dilancarkan tahun lepas.
Kerjasama Huawei dan Leica diteruskan lagi di siri Mate 40 dengan penawaran tiga kamera belakang. Mate 40 Pro akan menampilkan kamera utama 50MP F1.9 dengan OIS, kamera ultra lebar 20MP F1.8 dan kamera telefoto 12MP F3.4. Jika diperhatikan dengan teliti, kamera di bahagian atas kiri berbentuk empat segi, petanda ia adalah kamera periskop. Jika benar, ini adalah yang pertama ada di siri Huawei Mate.
Logo Leica terpampang di tengah bulatan modul kamera dengan label 1:18-3.4/18-125 ASPH. Label ini sama dengan apa yang terdapat di P40 Pro, seperti gambar di bawah. Dengan label ini, Mate 40 Pro dijangka mampu mengezum optikal 5x manakala zum digital sehingga 50x.
Di hadapan, tiada lagi takuk digunakan sebaliknya Huawei menggunakan lubang untuk memuatkan dwi-kamera hadapan. Kamera ini menggunakan sensor pengesan 3D dan kamera 13MP F2.4 yang sama seperti di Mate 30 Pro, yang berupaya mengesan pergerakan tangan.
Selain itu, Mate 40 dikatakan hadir dengan bateri 4,400mAh dengan pengecasan pantas 65W melalui USB-C. Ia juga menyokong pengecasan pantas wayarles SuperCharge 40W yang sama seperti di P40 Pro+.
Mate 40 juga dilengkapi sokongan 5G, WiFi 6 dan Bluetooth 5.2 tetapi ia dikatakan masih menggunakan sistem operasi Android 10 bersama EMUI 11. Seperti model sebelum ini, Mate 40 tidak hadir bersama perkhidmatan dan aplikasi Google.
Nantikan majlis pelancaran Huawei Mate 40 pada hari Khamis ini, 22 Oktober 2020 pukul 8 malam di mana ia akan disiarkan secara langsung di beberapa platform. Dijangka ia akan dilancar segera di Malaysia dengan tempahan awal dibuka tidak lama selepas itu, memandangkan Malaysia merupakan pasaran penting Huawei.
Sumber: WinFuture, Roland Quandt