Walaupun dilancarkan di pentas antarabangsa di samping OnePlus 8T, fon kepala TWS baru dari OnePlus iaitu OnePlus Buds Z, tidak pula tiba bersama-sama OnePlus 8T di Malaysia. Tetapi kini OnePlus Malaysia mengumumkan akan melancarkan OnePlus Buds Z, pada minggu hadapan.
OnePlus Buds Z akan dilancarkan di Malaysia pada hari Isnin, 30 November 2020 pukul 12 tengah hari. Seperti biasa, majlis pelancaran hanya dibuat secara dalam talian, dan boleh ditonton orang ramai menerusi Facebook OnePlus Malaysia dan saluran YouTube.
OnePlus Buds Z dijual di Amerika Syarikat pada harga USD 49 (~RM203), lebih murah dari OnePlus Buds yang berharga USD 79 di sana. Untuk perbandingan, OnePlus Buds dijual di Malaysia pada harga RM399. Boleh dijangka harga OnePlus Buds Z di Malaysia berada di bawah RM300.
OnePlus Buds Z adalah fon kepala yang lebih murah dari OnePlus Buds, dengan rekaan seperti AirPods Pro. Antara bezanya dari OnePlus Buds adalah ia menggunakan getah penyumbat dalam telinga yang boleh diganti, dan datang bersama tiga saiz getah.
Fon kepala ini memiliki hayat bateri sehingga 5 jam untuk memainkan lagu, atau sehingga 20 jam bersama bekas pengecas. Mengecas 10 minit pula memberikan masa memain muzik sehingga 3 jam. Hayat bateri ini lebih pendek dari OnePlus Buds, yang memiliki masa bermain muzik sehingga 30 jam bersama bekas pengecas.
Sistem bunyi pula dihasilkan menerusi pemacu audio dinamik 10mm. Ia ditambah teknologi Bass Boost untuk memberikan bunyi bass yang lebih mendalam. Jika digunakan bersama peranti OnePlus yang serasi, mod Fnatic membolehkan kependaman serendah 103ms, memastikan bunyi yang tepat didengari pada masanya, terutama ketika bermain permainan video.
Kelebihan OnePlus Buds Z berbanding OnePlus Buds adalah ia kalis percikan air dan peluh IP55. Ini menjadikannya fon kepala yang lebih sesuai digunakan semasa aktiviti kecergasan, atau berjalan di bawah hujan renyai.
Kawalan arahan boleh dilakukan terus dari fon kepala menerusi ruang peka sentuhan. Berhenti memainkan lagu, melangkau lagu atau menjawab panggilan, hanya perlukan satu sentuhan pada permukaan OnePlus Buds Z. Ia juga boleh berhubung dengan Google Assistant untuk bertanya soalan tanpa mengeluarkan telefon pintar.
Sambungan Bluetooth 5.0 menghubungkan OnePlus Buds Z dengan peranti, sehingga 10 meter jauh. Ia menyokong fungsi Quick Pair dan Quick Connect, cara pantas memadankannya dengan telefon pintar Android semudah membuka bekas pengecas dan ia terus terpapar di skrin telefon.
Tiada fungsi penyaring hingar aktif (ANC) terdapat di OnePlus Buds Z tetapi ia menyediakan algoritma pengurangan bunyi bising ketika membuat panggilan, menerusi 2 mikrofon terbina di dalam.
Sama-sama kita nantikan pelancaran OnePlus Buds Z di Malaysia untuk mengetahui harga dan tarikh jualannya.
[Sumber: OnePlus]