Jumlah hari semenjak PKP dilaksanakan

HARI

PKP bermula pada: 18 Mac, 2020

PKPP dijangka tamat dalam

HARI

PKPP dijangka ditamatkan pada 14 Apr, 2021

Ikuti liputan COVID‑19 kami di sini

OnePlus Nord 5G dilancar di bawah RM 2,000 di Malaysia

OnePlus Nord telah dilancarkan di pentas antarabangsa hampir sebulan yang lalu dan hari ini, dilancarkan secara rasmi di Malaysia. Sebelum ini, OnePlus telah menawarkan 450 kotak misteri yang menyediakan baucar RM100 serta hadiah rawak, dari telefon pintar OnePlus Nord sendiri sehinggalah t-shirt dan botol air eksklusif OnePlus Nord.

OnePlus Nord hadir dalam dua pilihan warna, Blue Marble dan Gray Onyx. Terdapat dua varian OnePlus Nord ditawarkan di Malaysia dengan harga seperti berikut:

  • OnePlus Nord (RAM 8GB + Storan 128GB) – RM 1,799
  • OnePlus Nord (RAM 12GB + Storan 256GB) – RM 2,399
  • OnePlus Buds – RM 399

Bagi varian RAM 8GB dan storan 128GB, ia akan mula dijual secara eksklusif di Shopee bermula hari ini, 18 Ogos 2020 pukul 1 tengah hari dan boleh didapati dari semua pengedar sah OnePlus pada 22 Ogos 2020. Bagi varian lebih tinggi, ia dijual bersama fon kepala OnePlus Buds serba baharu, juga eksklusif di Shopee pada 25 Ogos 2020, pukul 12 tengah malam.

OnePlus turut mula menjual fon kepala TWS pertama mereka, OnePlus Buds pada 25 Ogos 2020 secara eksklusif di Shopee. Ia datang dalam tiga pilihan warna iaitu biru dan putih, manakala warna kelabu akan menyusul kemudian.

Telefon pintar OnePlus Nord adalah salah satu peranti 5G di bawah RM 2,000. Telefon 5G lain yang sudah dilancar di Malaysia di bawah RM 2,000 adalah Huawei Nova 7 SE (RM 1,499), Huawei Nova 7 (RM 1,999) dan Poco F2 Pro yang baru diturunkan harga kepada RM 1,999.

Peranti ini boleh dikelaskan dalam kategori kelas pertengahan. Ia menggunakan cip Qualcomm Snapdragon 765 yang memiliki modem 5G terbina di dalam, bersama RAM LPDDR4X sehingga 12GB dan storan UFS2.1 sehingga 256GB.

Skrinnya dari jenis Fluid AMOLED dengan kadar penyegaran 90Hz, resolusi HD Penuh dalam nisbah 20:9, berukuran 6.44-inci dan dilapisi kaca Corning Gorilla Glass 5. Bateri yang dipasang di dalamnya berkapasiti 4,115mAh, menyokong pengecasan pantas Warp Charge 30T (5V/6A) melalui USB-C.

Di belakang, ia dilengkapi empat kamera iaitu kamera utama 48MP F1.75 dengan sensor Sony IMX586 dan menyokong penstabil imej optikal dan elektronik (OIS+EIS). Ia mampu merakam video sehingga 4K30fps. Dua lagi kamera ialah kamera ultra lebar 8MP F2.25, kamera pengesan kedalaman 5MP F2.4 dan kamera makro 3MP F2.4.

Di hadapan pula, ia ada dua kamera yang terletak di dalam lubang di sudut atas kiri skrin. Ia gabungan kamera utama 32MP F2.45 dari sensor Sony IMX616, bersama kamera ultra lebar 8MP F2.45. Menariknya, kamera hadapan ini boleh merakam video sehingga 4K60fps.

Untuk perhatian, OnePlus Nord tiada speaker stereo dan tiada ciri-ciri premium lain seperti pengecas wayarles dan kalis air. Ia juga tiada jek audio 3.5mm dan slot kad mikroSD, tetapi menyokong dua kad sim nano serentak.

Seperti semua peranti OnePlus, Nord juga menjalankan sistem operasi OxygenOS berasaskan Android 10. OnePlus menjamin bahawa semua peranti keluarannya akan menerima kemaskini OS selama 2 tahun dan kemaskini keselamatan selama 3 tahun.