Jumlah hari semenjak PKP dilaksanakan

HARI

PKP bermula pada: 18 Mac, 2020

PKPP dijangka tamat dalam

HARI

PKPP dijangka ditamatkan pada 31 Dec, 2020

Ikuti liputan COVID‑19 kami di sini

OnePlus Nord jelmaan OnePlus 8 pada harga jauh lebih murah

OnePlus nampaknya benar-benar mahu kembali ke tujuan asalnya, menghasilkan telefon pintar berkuasa tinggi dengan harga mampu milik. Ia diterjemahkan menerusi pelancaran OnePlus Nord. Walaupun ia tidak menggunakan cip paling berkuasa, tetapi ciri-ciri lainnya memberikan prestasi kelas premium.

Tidak salah untuk dikatakan bahawa OnePlus Nord adalah jelmaan OnePlus 8, dengan harga yang jauh lebih murah. Untuk perbandingan di Eropah, OnePlus 8 dengan RAM 8GB dan storan 128GB kini berharga EUR 719 (~RM 3,519). Manakala OnePlus Nord dengan RAM dan storan yang sama, berharga EUR 399 (~RM 1,952).

Tetapi sudah pasti, ada banyak kekurangan di OnePlus Nord jika mahu dibandingkan dengan OnePlus 8.

Dengan harga apabila ditukar ke ringgit dibawah RM 2,000 (harapnya harga rasmi di Malaysia lebih murah), ia adalah satu peranti 5G yang lebih mampu dimiliki. Ini kerana ia menggunakan kuasa cip kelas pertengahan, Snapdragon 765G 5G berbanding kebanyakan telefon pintar 5G lain di Malaysia, menggunakan cip Snapdragon 865 5G pada harga jauh lebih mahal. Termasuk OnePlus 8.

Terdapat 3 konfigurasi RAM dan storan diumumkan untuk OnePlus Nord. Tetapi variasi terendah iaitu RAM 6GB dan storan 64GB, hanya terdapat di pasaran India. Untuk lain-lain pasaran, OnePlus Nord akan disediakan dengan RAM 8GB dan storan 128GB, atau RAM 12GB dan storan 256GB. RAM ini dari jenis LPDDR4X dan storannya pula UFS2.1. Bukan terkini tetapi masih pantas.

Skrin pada Nord sama seperti OnePlus 8, dari jenis Fluid AMOLED dengan refresh rate 90Hz, resolusi HD Penuh dalam nisbah 20:9, tetapi sedikit kecil dengan ukuran 6.44-inci. Skrin ini dilapisi kaca Corning Gorilla Glass 5. Bateri yang dipasang di dalamnya berkapasiti 4,115mAh, yang menyokong pengecasan pantas Warp Charge 30T (5V/6A) melalui USB-C.

BACA  OnePlus Buds Z diperkenal dengan harga lebih rendah

Persamaan terbesar OnePlus Nord dan OnePlus 8 adalah pada kamera belakang. Seperti yang dikatakan Carl Pei, pengasas bersama OnePlus, kamera di Nord adalah klon dari OnePlus 8. Kamera utamanya menggunakan sensor Sony IMX586, dengan resolusi 48MP F1.75 serta menyokong penstabil imej optikal dan elektronik (OIS+EIS). Ia mampu merakam video sehingga 4K30fps.

Persamaannya hanya setakat itu, kerana kamera lainnya berbeza. Selain kamera utama 48MP, Nord dilengkapi kamera ultra lebar 8MP F2.25, kamera pengesan kedalaman 5MP F2.4 dan kamera makro 3MP F2.4.

Kamera hadapan juga berbeza, tetapi dilihat lebih memihak kepada Nord. Ini kerana Nord memiliki dua kamera hadapan, yang terletak di dalam lubang di sudut atas kiri skrin. Ia gabungan kamera utama 32MP F2.45 dari sensor Sony IMX616, bersama kamera ultra lebar 8MP F2.45. Menariknya, kamera hadapan ini boleh merakam video sehingga 4K60fps.

Untuk perhatian, OnePlus Nord tiada speaker stereo dan tiada ciri-ciri premium lain seperti pengecas wayarles dan kalis air. Ia juga tiada jek audio 3.5mm dan slot kad mikroSD, tetapi menyokong dua kad sim nano serentak.

Seperti semua peranti OnePlus, Nord juga menjalankan sistem operasi OxygenOS berasaskan Android 10. OnePlus menjamin bahawa semua peranti keluarannya akan menerima kemaskini OS selama 2 tahun dan kemaskini keselamatan selama 3 tahun.

OnePlus Nord datang dalam dua pilihan warna, hitam dan biru. Untuk peringkat awal ini, ia akan dijual di pasaran India dan Eropah bermula 4 Ogos 2020, dengan harga berikut:

  • OnePlus Nord (6GB+64GB) India – INR 24,999 (~RM 1,429)
  • OnePlus Nord (8GB+128GB) India – INR 27,999 (~RM 1,600)
  • OnePlus Nord (12GB+256GB) India – INR 29,999 (~RM 1,715)
  • OnePlus Nord (8GB+128GB) Eropah – dari EUR 399 (~RM 1,952
  • OnePlus Nord (12GB+256GB) Eropah – dari EUR 499 (~RM 2,442)
BACA  Laptop prestasi tinggi Razer Blade dan Blade Pro, mula dijual di Malaysia

Buat masa ini, tarikh jualan di Malaysia masih belum diketahui. Tetapi kita boleh menjangka ia tidak lama lagi memandangkan OnePlus Malaysia sangat aktif mempromosikan OnePlus Nord, sehingga telah membuka kedai khas di Shopee, serta meluangkan masa berjumpa 10 peminat terpilih pada 25 Julai 2020. Malah, ada pekedai di Malaysia yang telah membuka tempahan awal dan menyatakan akan menghantar tempahan bermula 18 Ogos.

Jika anda berminat dengan OnePlus Nord, jangan lupa sertai perjumpaan peminat OnePlus di Malaysia. Rujuk maklumat lanjut di sini.