Penawaran Lenovo Yoga 9i di Malaysia ada kemas kini harga dan spesifikasi

Merujuk pada artikel kami terdahulu, Lenovo Malaysia membawa masuk 2 laptop pertama mereka yang mendukung piawaian Thunderbolt 4 ke pasaran kita. Laptop yang dimaksudkan ialah Yoga Slim 7i Carbon dan Yoga 9i 2-in-1.

Yoga Slim 7i Carbon sudahpun dijual di Malaysia pada harga bermula RM4,399. Namun, untuk model Yoga 9i 2-in-1, terdapat sedikit kemas kini pada harga dan spesifikasinya.

Dalam artikel terdahulu, kami laporkan Yoga 9i 2-in-1 yang tempahan untuk milikinya berjalan pada 12 Disember 2020 pada harga bermula RM6,399.

Tapi, menurut maklumat terkini yang dibekalkan Lenovo Malaysia kepada kami, harga permulaan laptop ini telah diselaraskan kepada serendah RM6,499, ataupun RM100 lebih tinggi berbanding pengumuman asal.

Dua varian Yoga 9i yang masuki Malaysia ialah

  1. Yoga 9i 2-in-1 yang gunakan besi Mica sebagai kemasan panel paparan – bermula RM6,499
  2. Yoga 9i 2-in-1 yang gunakan kulit sebagai kemasan panel paparan – bermula RM6,909

Namun, saluran untuk dapatkan varian ini sedikit berbeza. Versi besi Mica boleh didapati melalui Lenovo Exclusive Stores (LES) ataupun secara dalam talian di Lazada dan Shopee. Versi kulit pula boleh didapati terus daripada laman rasmi Lenovo Malaysia.

Spesifikasi Yoga 9i 2-in-1

Menurut laman rasmi Lenovo Malaysia, laptop ini dilengkapi paparan UHD 4K sebesar 14”. Pengeluarnya menjanjikan hayat bateri sehingga 10 jam lamanya sekiranya anda tonton video UHD secara terus menerus.

Ia diperkasa CPU Intel generasi ke-11 Core-i7 (laman web telah dikemas kini daripada generasi ke-10) dan tiada GPU discrete diberikan sebaliknya anda boleh nikmati keperkasaan GPU jenis integrated Intel Iris Xe yang baru.

Storan SSD digunakan dan ada konfigurasi sehingga 1TB luasnya. Ada juga varian yang dilengkapi RAM sehingga 16GB LPDDR4X.

Ada sejumlah I/O diberikan pada laptop ini. Antaranya adalah 2 port USB-C yang sokong Thunderbolt 4, 1 USB-A dan 1 jek audio 3.5mm.