Pelan Yes Kasi Up beri lebih GB setiap RM dan telefon percuma, sambil jana pendapatan

Yes 4G, penyedia rangkaian mudah alih 4G sepenuhnya di Malaysia kini melancarkan pelan prabayar dan pascabayar serba baru, dikenali sebagai Yes Kasi Up. Pelan baru ini menawarkan lebih banyak data pada harga lebih rendah, di samping memberi peluang pengguna untuk menjana pendapatan melalui program rujukan.

Pelan baru Yes Kasi Up menawarkan komitmen prabayar serendah RM15 untuk 30 hari, dan data 100GB percuma selama 6 bulan untuk pascabayar. Menurut Yes, ini adalah cara mereka membantu rakyat Malaysia berhadapan wabak COVID-19.

Kasi Up Prabayar – RM15/bulan 10GB

Pelan prabayar baru Yes ini menawarkan 10GB data pada harga RM15 dengan tempoh sah selama 30 hari. Yes menekankan, pelan ini tiada sekatan kelajuan dan tiada had masa penggunaan. Malah, pengguna tidak terikat dengan membuat tambah nilai RM30 untuk mengaktifkan talian, kerana pelan ini memberi tempoh sah 30 hari dengan bayaran RM15 sahaja. Pasti ini sangat membantu mereka dengan bajet kecil.

Pelan ini menyediakan panggilan tanpa had sesama talian Yes, tetapi dikenakan caj 9sen/minit ke talian lain. Manakala SMS dicaj 9 sen setiap satu.

Jika 10GB tidak mencukupi, pengguna boleh melanggan Kasi Up Prepaid 20, yang memberikan 20GB data pada harga RM20 sahaja. Pelanggan juga boleh membeli data tambahan dari serendah RM1 untuk 1GB/hari, atau RM10 untuk 10GB selama 7 hari. Yes turut menyatakan, kuota data pada pelan ini turut boleh digunakan untuk hotspot.

Yes juga ada menawarkan pelan tanpa had RM30/bulan, dengan kelajuan disekat kepada 7Mbps dan kuota hotspot sebanyak 9GB sahaja.

Kasi Up Pascabayar – RM49/bulan 100GB

Kalau anda mahukan lebih banyak data, Yes menyediakan pelan pascabayar Kasi Up Postpaid 49 yang memberikan 100GB data pada harga RM49/bulan. Lebih menarik lagi, anda boleh menerima 6 bulan bil percuma (bernilai RM294) tanpa perlu mmebayar bayaran pendahuluan, dengan syarat dikenakan kontrak 24-bulan. Bayar pelan ini dari bulan ke-7 dan seterusnya.

Pelan ini turut hadir dengan panggilan tanpa had ke semua talian di Malaysia. SMS pula dikenakan caj 9 sen setiap satu. Tiada halangan hotspot untuk digunakan, ia akan mengambil dari kuota biasa 100GB. Jika perlukan data tambahan, boleh membeli add-on 10GB pada harga RM10.

Kasi Up Pascabayar – RM30 percuma telefon

Satu lagi tawaran sangat menarik di Yes Kasi Up adalah telefon percuma. Yes menawarkan pelan RM30/bulan yang hadir dengan 20GB data bersama telefon 4G percuma. Pengguna akan diikat kontrak selama 24-bulan untuk pelan ini.

Tetapi Yes tidak pula menjelaskan apakah jenis telefon yang akan diberikan. Menurut Yes, ia adalah telefon berjenama Yes dan bernilai RM399. Tidak juga dinyatakan sama ada pelan ini memiliki panggilan tanpa had ke semua talian.

Dari aplikasi Yes, langganan pelan Kasi Up Pascabayar 30 memerlukan bayaran pendahuluan RM180. Jika direbat pada bil, bermakna pengguna membayar pendahuluan untuk 6 bulan pertama.

Kasi Up Unlimited Duit

Jika anda telah melanggan pelan baru Yes Kasi Up, anda boleh menjana wang tunai dengan merujuk rakan atau ahli kelurga untuk melanggan pelan Yes Kasi Up. Untuk setiap rujukan, anda dan rakan, kedua-duanya akan menerima sehingga RM50 untuk setiap rujukan.

Lebih baik lagi, Yes memberikan wang tunai kepada anda, bukannya dalam bentuk kredit atau rebat bil. Wang yang diterima dari setiap rujukan akan dimasukkan ke dompet Yes anda, kemudian anda boleh memilih untuk mengeluarkannya dan dihantar ke akaun bank pilihan (minima RM50), atau gunakannya untuk membayar bil Yes atau membeli kredit Yes.

Jumlah wang yang diterima untuk setiap rujukan baru mengikut pelan adalah seperti beirkut:

  • Kasi Up Postpaid 49 tanpa kontrak – RM50
  • Kasi Up Postpaid 49 kontrak 24 bulan – RM50
  • Kasi Up Postpaid 30 Phone Bundle – RM15
  • Kasi Up Prepaid 15 – RM 5

Tetapi bayaran tidak buat sekaligus, kecuali pelan Postpaid 30 dan Prepaid 15 di mana bayaran rujukan dibuat apabila akaun baru diaktifkan. Untuk rujukan Postpaid 49 tanpa kontrak yang baru, RM20 akan diberi semasa pelan diaktifkan, dan RM10 akan dibayar selama tiga bulan pada bulan ke-2, ke-3 dan ke-4.

Bagi rujukan Postpaid 49 dengan kontrak, RM20 akan diberi pada waktu pengaktifan, dan RM10 diberi selama 3 bulan pada bulan ke-7, ke-8 dan ke-9. Ini kerana pelan ini percuma untuk 6 bulan pertama dan pengguna mula membayar bil pada bulan ke-7.

Kempen rujukan Yes Kasi Up Unlimited Duit ini tidak ada had, jadi anda boleh merujuk sebanyak mungkin pengguna baru. Untuk maklumat lanjut, semak laman web Yes di sini, serta ruangan soalan lazim FAQ di sini.