Individu buat video mukbang di China bakal didenda lebih RM60,000

Fenomena mukbang mula terkenal di Korea Selatan pada tahun 2010. ‘Mukbang’ merupakan satu video yang menunjukkan individu makan pelbagai jenis makanan, sambil berinteraksi dengan penonton. Perkataan mukbang itu sendiri berasal dari Korea.

Negara Malaysia tidak ketinggalan dari mengikuti trend itu. Contohnya ialah Youtubers Isaac Osman. Semua videonya di Youtube adalah mengenai mukbang.

Mukbang di China

Kandungan video mukbang kian popular di serata dunia. Ibarat satu trend di negara China, video mukbang dapat dilihat banyak di aplikasi YouTube dan Douyin, iaitu sebuah aplikasi seperti TikTok tetapi versi China. Ramai pengguna aplikasi itu berkongsi video mereka makan makanan bersaiz besar, seperti 10 mangkuk mee pedas dan 15 biji burger.

Pada mulanya, seorang vlogger wanita di China dikenali sebagai Mizijun, merupakan antara yang paling awal melakukan video mukbang di negara itu. Mizijun menjadi tular pada tahun 2016 setelah dia menghabiskan 10 mangkuk mee segera yang sangat pedas dalam masa 16 minit dan 20 saat.

Sehingga kini, dia mempunyai pengikut lebih daripada 213 ribu di Youtube.

Undang-undang mukbang negara Cina

Namun di negara China, video mukbang sedang dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Nasional untuk menjadikan ia satu kandungan yang dilarang. Hal ini berikutan kebimbangan mereka terhadap pembaziran makanan.

Sesiapa sahaja yang mempromosikan kandungan makan berlebihan secara dalam talian atau melalui TV, akan dikenakan denda sehingga CNY 100,000, bersamaan RM62,017.24.

Malah restoran juga akan dikenakan denda sekiranya mereka mendorong pelanggan untuk memesan makanan berlebihan dan menyebabkan pembaziran yang nyata. Bukan itu sahaja, pengunjung restoran yang ada sisa makanan berlebihan akan dikenakan bayaran sampah dengan jumlah yang belum ditentukan lagi.

Bagi mengelakkan pembaziran makanan, mungkin Malaysia juga boleh melaksanakan undang-undang seperti negara China. Tetapi, tidak dinafikan, video mukbang memang menarik untuk ditonton. Umpama video review makanan, ia mampu mencetuskan rasa seronok apabila ditonton.

[Sumber: SCMP]