MySejahtera akan jadi saluran untuk mohon vaksin COVID-19

YB Khairy Jamaluddin telah mengumumkan yang vaksin COVID-19 adalah tidak mandatori dan rakyat Malaysia yang ingin mendapatkannya, perlulah memohon melalui saluran yang akan ditetapkan kerajaan.

Menurut beliau, aplikasi MySejahtera akan digunakan untuk menerima permohonan rakyat Malaysia, yang mahu disuntik COVID-19 dalam badan mereka. Sungguhpun vaksin COVID-19 akan diberikan secara percuma, pihak kerajaan masih belum memutuskan untuk berikannya pada orang luar secara percuma. Perkara tersebut sedang dibincangkan dengan Kementerian Luar, Kementerian Sumber Manusia, dan Kementerian Dalam Negeri.

Pecahan jenis vaksin yang dibeli Malaysia

Kerajaan juga akan memuktamadkan Pelan Vaksinasi Kebangsaan pada 7 Januari 2021. Antara yang bakal terkandung dalam pelan tersebut adalah vaksin akan mula diedarkan dalam bulan Februari 2021, apabila pesanan pertama tiba di Malaysia.

Daripada segi vaksin, kerajaan sudahpun memperolehi 55 kemudahan sejuk beku khas yang bernilai RM6.7 juta untuk menyimpan vaksin ini. Kumpulan vaksin pertama akan dikhaskan kepada kumpulan barisan hadapan dan yang berisiko tinggi.

Kumpulan vaksin kedua pula akan tiba dalam bulan April ini dan pada masa itu, mereka mensasarkan untuk menyediakan vaksin kepada 82.8% populasi. YB Khairy turut memaklumkan yang kanak-kanak tidak akan divaksinkan kerana masih belum ada ujian klinikal yang kukuh terhadap golongan ini.

[Sumber: MalayMail]