LG pamer set TV OLED lutsinar di katil dengan kadar telus 40%

LG mencipta satu prototaip TV OLED lutsinar dan ia dipamerkan di CES 2021. Untuk prototaip ini, TV direka berukuran 55 inci. Selain itu, LG menetapkan kadar lut sinar sebanyak 40% melebihi rekaan TV sebelum ini yang hanya 10% sahaja.

Syarikat elektronik terkemuka itu membayangkan, TV OLED lut sinar serba moden itu berfungi canggih sambil diletakkan dihujung kaki katil.

Meskipun TV tersebut menunjukkan gambar dan sedang berfungsi, namun pengguna masih boleh melihat ciri lut sinar itu. Menariknya lagi, TV itu juga boleh dikeluarkan separuh sahaja bergantung kepada kehendak pengguna.

Rekaan tersebut juga mempunyai pembesar suara yang terbina di dalamnya. Namun, masih tidak diketahui ciri audio yang boleh disokong oleh pembesar suara itu.

LG melihat TV ini sebagai sebuah peranti rumah pintar, ia mempunyai banyak fungsi dan boleh dipindahkan di sekitar rumah di ruangan lain bergantung kepada citarasa pengguna. Selain itu, ia juga berpotensi digunakan di lokasi lain, seperti di restoran dan pengangkutan awam.

Malangnya, tidak ada petunjuk bahawa TV OLED lutsinar LG ini akan menjadi produk sebenar dalam masa terdekat. Tidak diketahui juga berapa harganya sekiranya ia dijual.

Namun, sekiranya ia dijual sudah tentu harganya melebihi harga TV OLED LG yang sedia ada. Sesiapa yang memilikinya sudah tentu akan kelihatan sangat moden dan mewah.

[Sumber: TheVerge]