Jumlah hari semenjak PKP dilaksanakan

HARI

PKP bermula pada: 18 Mac, 2020

PKPP dijangka tamat dalam

HARI

PKPP dijangka ditamatkan pada 31 Mac, 2021

Ikuti liputan COVID‑19 kami di sini

Telefon flagship Realme X7 Pro 5G akan datang ke Malaysia bulan ini

Nampaknya Realme tidak menunggu lama untuk kembali merancakkan pasaran dengan pelancaran produk baru secara mingguan. Baru sahaja lepas mengumumkan akan melancarkan Realme Watch S Pro minggu ini, Realme Malaysia akan kembali ke pentas pelancaran minggu hadapan, membawakan telefon pintar baru pertama mereka untuk tahun 2021.

Pada hari Selasa, 26 Januari 2021, Realme Malaysia akan melancarkan telefon pintar flagship terbaru, Realme X7 Pro 5G. Pelancaran ini akan dibuat secara dalam talian sahaja, menerusi Facebook Realme Malaysia, bermula pukul 12 tengah hari.

Buat masa ini, Realme hanya berkongsi sedikit gambar belakang telefon ini dan tidak menerangkan sebarang spesifikasi tentang X7 Pro 5G. Bagaimanapun, telefon dengan nama model yang sama ini telah pun dilancarkan di Thailand. Boleh dijangka ini adalah model yang sama akan dilancarkan di Malaysia.

Spesifikasi Realme X7 Pro 5G

Realme X7 Pro dikuasakan oleh pemproses terbaik dari MediaTek iaitu Dimensity 1000+ 7nm, dengan 8-teras berkelajuan sehingga 2.6GHz dan modem 5G terbina di dalam. Tetapi pilihan jenis RAM dan storannya agak ketinggalan, kerana ia menggunakan RAM LPDDR4x 8GB dan storan UFS2.1 128GB. Tiada slot kad mikroSD.

Paparan di telefon ini bertaraf tinggi. Ia menggunakan skrin AMOLED 6.55-inci HD penuh, dengan kadar penyegaran 120Hz dan kadar sentuhan 240Hz. Skrin ini dilapisi kaca Corning Gorilla Glass 5 dan berlubang kecil di atas untuk kamera hadapan.

Tenaga pula disalurkan dari bateri berkapasiti 4,500mAh. Ia boleh dicas melalui port USB-C dan menyokong pengecasan pantas SuperDart 65W. Ia mengambil masa hanya 35 minit untuk mengecas penuh dari kosong. Nampak gaya, kepala pengecas masih diberikan di dalam kotak.

Bahagian kamera juga agak biasa. Terdapat empat kamera di belakang iaitu kamera utama 64MP F1.8 Sony IMX686, kamera ultra lebar 8MP F2.25, kamera makro 2MP dan kamera potret 2MP. Tiada kamera telefoto. Untuk kamera hadapan pula, ia menggunakan sensor 32MP F2.45 yang terletak di dalam lubang di sudut atas skrin.

BACA  AirAsia lanjut tempoh penerbangan Pas Tanpa Had Cuti-Cuti Malaysia

Sistem bunyi di X7 Pro 5G agak menarik. Ia memiliki speaker stereo yang menyokong format Dolby Atmos dan Hi-Res Audio. Tetapi sudah tiada jek audio 3.5mm padanya. Sistem operasi pula menggunakan Realme UI berasaskan Android 10.

Harga dan warna

Berkenaan harga, Realme X7 Pro dijual di Thailand dalam dua warna, Iridescent dan Aerolite Black, dengan satu varian sahaja berharga:

  • Realme X7 Pro (RAM 8GB + Storan 128GB) – THB 16,990 (~RM2,287)

Jika ini varian yang sama akan dilancarkan di Malaysia, kita boleh jangkakan harga jualan hampir sama, sekitar RM2,299. Nantikan pelancarannya di Facebook Realme Malaysia pada 26 Januari 2021, pukul 12 tengah hari.

[Sumber: Realme]