Telegram iOS boleh import mesej anda dari WhatsApp iOS, ini caranya

Dalam minggu pertama tahun 2021, Telegram telah terima 25 juta pengguna baharu dan pengguna aktif Telegram kini mencapai 500 juta. Perkara ini selari dengan pengumuman WhatsApp yang telah mengemas kini polisi operasi mereka, lantas mencetuskan ketakpuasan hati pengguna APP permesejan hijau itu.

Menyedari akan perkara tersebut, Telegram ingin mempermudah perpindahan pengguna daripada platform luar kepada Telegram dengan pengenalan beberapa fungsi baru.

Eksport mesej dari WhatsApp ke Telegram

Fungsi ini tentu sekali bakal terima pujian ramai kerana ia menjadi batu penghalang paling besar pengguna WhatsApp di iOS untuk berhijrah ke Telegram sambil membawa kandungan mesej daripada platform lama.

Bukan terhad kepada WhatsApp iOS sahaja. Hampir semua servis dalam ekosistem iOS tidak membenarkan perpindahan data terus daripada telefon disebabkan pendekatan “sandbox” yang digunakan Apple.

Anda bukan saja boleh pindahkan thread individu, malahan boleh pindahkan thread group juga dan ia berfungsi untuk iOS dan juga Android. Bukan itu saja, bila anda import masuk thread kumpulan, anda boleh wujudkan kumpulan baru di Telegram.

Contoh fungsi mengimport group chat masuk ke Telegram daripada Whatsapp

WhatsApp iOS

Buka Contact Info ataupun Group Info, kemudian tekan butang Export Chat dan pilih Telegram dalam menu Share

WhatsApp Android

Dalam thread individu ataupun group, tekan butang titik bertindih 3 ⋮ > More > Export Chat, kemudian pilih Telegram dalam menu Share

Hapuskan jejak digital anda dalam Telegram

Tidak kiralah anda bersembang 1-dengan-1 ataupun dalam kumpulan, segala teks anda boleh dipadamkan. Apabila dipadamkan, bukan sahaja orang yang terima teks itu tidak lagi dapat melihatnya malahan sesiapa saja dalam kumpulan yang anda sertai tidak boleh lihatnya lagi.

Lebih bagus, tiada had masa ditetapkan untuk anda padamkan benda tersebut dan anda boleh lakukannya pada bila-bila masa.

Voice Chat dan Audio Player ditambah baik

Fungsi sembang suara dalam Telegram bukanlah sesuatu yang baru. Mereka baru saja naik taraf dalam kemas kini terdahulu tapi pada kemas kini ini, anda boleh tetapkan kekuatan suara setiap individu yang menyertainya.

Satu lagi perkara menarik adalah bila anda menyertai kumpulan yang berkongsi fail audio. Anda kini akan dihidangkan dengan senarai fail Audio yang boleh dimainkan dan filter boleh digunakan untuk hanya melihat fail daripada orang tertentu.

[Sumber: Telegram]