Hotlink sekat kelajuan pelan tanpa had sepanjang PKP selama 4 jam setiap hari

Pengguna pelan tanpa had prabayar Hotlink sudah sepatutnya sudah mengetahui bahawa pelan ini mempunyai polisi penggunaan saksama (FUP) yang menyekat kelajuan lebih perlahan, dari 3Mbps atau 6Mbps, ke 512Kbps apabila mencecah kuota 50GB sebulan. Tetapi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, ia sebenarnya ditambah sekatan lain.

Hotlink memaklumkan bahawa sepanjang PKP, pengguna pelan tanpa had Hotlink akan disekat kelajuan ke 512Kbps dari pukul 8 malam sehingga 12 tengah malam setiap hari. Ini untuk memastikan semua pelanggan dapat menikmati perkhidataman yang baik dan tanpa gangguan semasa tinggal di rumah.

Perkara ini ditemui apabila seorang pembaca berkongsi kepada kami tangkap layar pertanyaannya kepada Hotlink. Seorang rakan kami di pejabat yang menggunakan pelan yang sama, turut merasakannya dan menyatakan bahawa YouTube tidak dapat ditonton dengan kualiti HD waktu malam, menyangkakan masalah rangkaian. Tetapi hakikatnya, ia adalah sekatan yang ditetapkan Maxis.

Selain itu, pengguna yang membeli “data add-on” juga akan disekat kelajuannya. Rata-rata, semua pengguna Hotlink tidak mengetahui tentang polisi baru ini memandangkan tiada pengumuman rasmi atau notis dikeluarkan.

Sangat teruk apabila membayar untuk perkhidmatan 6Mbps tetapi hanya dapat menggunakan 512Kbps atau 1/12 kelajuan pada waktu malam di rumah.

Menurut laman web Hotlink, pengguna boleh menonton siaran HD 720p dengan pelan 3Mbps dan HD Penuh 1080p pada pelan 6Mbps. Bagaimanapun, penerangan mengenai sekatan 512kbps pada waktu malam tidak terdapat langsung di laman web, T&C dan FAQ pada waktu artikel ini ditulis.

FAQ sedia ada jelas menyatakan bahawa FUP untuk kelajuan biasa dihadkan kepada 5GB untuk pas harian, 15GB untuk pas mingguan dan 50GB untuk pas bulanan. Tidak ada langsung sebarang had masa dijelaskan dan pengguna seharusnya menerima kelajuan penuh jika mereka masih tidak mencecah had kuota.

Sekatan tanpa notis awal ini sangat tidak adil untuk pengguna. Ini adalah pelanggaran jelas Kod Amalan Pengguna dan SKMM harus mengambil tindakan lanjut untuk melindungi had pengguna. Maxis bukan sahaja gagal memaklumkan kepada pengguna tentang polisi baru ini malah tidak menyatakan langsung di mana-mana sumber awam.

Sumber: Facebook Hotlink

Kami telah menghubungi Maxis untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara ini dan akan mengemaskini artikel ini apabila menerima maklumbalas.

Jika anda tidak berpuas hati dengan polisi ini, anda boleh membuat aduan kepada SKMM menerusi portal Aduan SKMM di bahagian “Misrepresentation of Service” kerana pengiklanan yang salah dan tidak tepat.

[Sumber: SoyaCincau]