Acrobat Web jadikan PDF lebih mudah diubahsuai dari pelayar

Sebelum ini, Adobe ada menyediakan perkhidmatan Acrobat di laman web tanpa fungsi ubahsuai. Pengguna perlu memuat turun aplikasi Adobe Acrobat untuk membuat ubahsuai fail PDF. Kini Adobe mengumumkan bahawa versi pelayar Acrobat kini memiliki fungsi yang sama seperti di aplikasi. Lebih mudah kerana pengguna tidak perlu lagi memasang aplikasi Acrobat.

Dalam kemaskini baru ini, Acrobat Web di pelayar kini dilengkapi fungsi ubahsuai fail PDF seperti edit teks dan gambar, menambah tandatangan, mengisi borang dan banyak lagi. Fungsi yang sama ditawarkan di aplikasi Acrobat, kini terdapat sepenuhnya di Acrobat Web.

Menurut Naib Presiden Document Cloud Adobe, Todd Gerber, kemaskini baru ini penting untuk Adobe kerana semakin banyak pengguna beralih membuat tugasan secara terus di pelayar. Ramai pekerja memulakan hari mereka dengan mendaftar masuk ke G Suite atau Microsoft 365. Jadi Adobe kini turut menawarkan akses yang sama buat pengguna.

Tambah Todd lagi, ramai menyangkakan PDF adalah format milik Adobe, tetapi ia sebenarnya adalah standard terbuka dan serasi digunakan dengan pelbagai perkakas pihak ketiga. Ekosistem yang sangat besar ini boleh digunakan di pelbagai platform, membuatkan ia sedikit sukar untuk menawarkan fungsi ubahsuai di Acrobat Web pada awalnya.

Beberapa lagi fungsi baru yang ditambah ke dalam Acrobat Web adalah seperti mengunci PDF dengan kata kunci, meleraikan PDF kepada dua fail serta menggabungkan pelbagai PDF ke dalam satu fail. Adobe juga menjadikan akses lebih mudah dengan mengenalkan pautan yang sangat ringkas, PDF.new. Pautan ini telah diperkenalkan tahun lepas dan ia telah diakses sekitar 10 juta kali.

Adobe juga telah menyediakan pautan pendek mudah untuk pelbagai operasi PDF terus dari pelayar, menggunakan pautan berikut:

[Sumber: Tech Crunch, Adobe]