Jemputan untuk sertai Clubhouse didagangkan pada harga sehingga RM299

Clubhouse adalah satu platform sosial media yang masih berada dalam fasa beta. Reputasinya meletup-letup sekarang kerana ramai selebriti luar negara menyertainya. Anda ada nama seperti Oprah Winfrey, Ashton Kutcher, Drake, malahan ikon besar dunia teknologi pun ada seperti Elon Musk dan Mark Zuckerberg.

Disebabkan berada dalam fasa beta, Clubhouse setakat ini cuma menerima penyertaan daripada pengguna yang telahpun ada dalam Clubhouse dan untuk setiap akaun, mereka diberikan 2 tiket untuk diberikan pada orang lain menyertai Clubhouse. Menyedari potensi beroleh keuntungan, ada segelintir pengguna yang cuba mengambil kesempatan untuk menjual tiket menyertai Clubhouse.

Di Shopee, ada yang menjualnya pada harga RM60 manakala Carousell, harganya pelbagai daripada RM50 hingga RM300.

Apa pendapat anda tentang membeli tiket masuk ke laman sosial yang sepatutnya percuma? Pada saya, ia berisiko sebab waktu Google+ dulu, hype untuk menggunakannya bukan main hebat lagi, tapi sekarang Google+ sudahpun mati. Servis penstriman Quibi, kononya akan merubah landskap penstriman juga mati selepas 6 bulan sahaja dilancarkan.

Clubhouse adalah platform media sosial baru dan ia unik berbanding Facebook, Instagram, dan Twitter. Clubhouse tidak bergantung kepada teks ataupun gambar, sebaliknya ia adalah media sosial yang menggunakan audio sahaja. Tunjang kepada Clubhouse adalah bilik-bilik audio yang boleh diwujudkan penggunanya untuk mula bersembang.

Clubhouse tidak menyimpan sesi siaran langsung yang berlaku dalam bilik. Siapa yang terlepas, terlepaslah. Maka, anda perlu hadir secara aktif untuk mengetahui apa yang dibincangkan, tidak seperti livestream lain yang boleh anda rujuk kemudian hari.

Menurut satu utusan blog pembangunnya pada 1 Oktober 2020, mereka sudahpun mula menerima penguji beta sebelum Oktober 2020 dalam skala kecil. Perkara tersebut bertujuan untuk menetapkan batu asas pada Clubhouse daripada segi apa yang boleh dibincangkan, apa yang tidak boleh dibincangkan.

Layari laman rasmi Clubhouse untuk baca perkembangan terkini tentangnya.