Maxis TV diperbaharui dengan tawaran percuma 30-hari, terbuka untuk semua

Maxis TV adalah tawaran daripada Maxis yang menyediakan pakej pelbagai platform penstriman TV dalam satu tempat. Kini Maxis memperbaharui tawaran Maxis TV dengan pakej serba baharu serta tempoh percubaan percuma selama 30 hari. Maxis TV juga terbuka untuk semua, tidak terhad untuk pelanggan Maxis dan Hotlink sahaja.

Maxis kini bekerjasama dengan beberapa penyedia kandungan video atas permintaan (VOD) yang terbaik iaitu Dimsum Entertainment, iQiyi, MUBI, Viu, dan WeTV iflix. Masih tiada Netflix di Maxis TV. Platform ini menyediakan kandungan premium seperti filem, drama dan rancangan TV, dari Hollywood, Korea, India, China, Indonesia dan kandungan Melayu tempatan yang popular.

Dalam tawaran terbaru Maxis TV, pengguna boleh memilih untuk melanggan secara harian, mingguan atau bulanan dari serendah RM3. Data percuma juga diberikan, tetapi untuk pengguna Maxis dan Hotlink sahaja. Selain itu, pengguna juga boleh memilih untuk melanggan hanya satu VOD, dua atau tanpa had. Terdapat pelbagai pilihan pelan yang sesuai mengikut bajet.

Untuk bayaran pula, pengguna Maxis dan Hotlink boleh membuat bayaran secara caj ke dalam bil atau menggunakan kredit prabayar. Bagi bukan pelanggan Maxis, bayaran boleh dibuat menggunakan kad kredit.

“Penggunaan VOD antara perkhidmatan digital yang semakin popular pada norma baru ini, dengan rakyat Malaysia menghabiskan rata-rata 4.8 jam sehari melayari Internet. Maxis TV serba baru adalah evolusi platform, di mana pengguna boleh menumpukan diri mereka dalam pengalaman menyeluruh, dari kesalinghubungan ke keperluan kandungan dengan data tanpa had untuk penstriman tanpa bimbang. Maxis komited untuk memberi pengalaman peribadi yang tidak ditandingi untuk semua pengguna dalam era kesalinghubungan konvergen,” kata Navin Manian, Ketua Pengguna Hotlink, Maxis.

Jika berminat, anda boleh membeli pas VOD atau mendapatkan maklumat lebih lanjut dengan melayari laman web Maxis TV.