Digi dah mansuhkan pelan Postpaid 150 Infinite, tapi ini cara anda boleh dapatkannya juga

Digi telah kemas kini penawaran pascabayar mereka. Yang pengguna pasti perasan adalah ketiadaan Digi Infinite 150. Malahan, bahagian T&C, Digi Postpaid 150 Infinite telah dipindahkan ke bahagian Archive yang mencadangkan mereka tak tak lagi menerima pendaftaran baru.

Tapi anda masih boleh mendapatkan manfaat seakan Digi Infinite 150 pada penawaran baru ini. Berikut adalah kemas kini pascabayar Digi setakat 23 Februari 2021.

Ada 5 varian Digi Postpaid ditawarkan iaitu:

  1. Digi Postpaid 40 – RM40/bulan
  2. Digi Postpaid 60 – RM60/bulan
  3. Digi Postpaid 90 – RM90/bulan
  4. Digi Postpadi 120 – RM120/bulan
  5. Digi Postpaid 150 – RM150/bulan

Kuota Internet, Suara, & SMS

Anda beroleh kuota Internet dalam julat 10GB hingga 85GB. Ia adalah data Internet berkelajuan penuh dan boleh digunakan untuk hotspot. Panggilan suara tanpa had diberikan merentasi semua pelan.

Tapi untuk SMS, hanya pelan Pospaid 90 dan keatas sahaja yang ada kuota SMS bermula 300 unit. Kalau kehabisan kuota, kadarnya adalah 10 sen/SMS. Kalau anda masih menghantar SMS dan lakukan panggilan video 3G, ia masing-masing beharga 20 sen/MMS dan 15 sen/min.

Sekiranya anda ingin tambah talian tambahan, hanya Postpaid 60 dan keatas sahaja boleh menambah sehingga 6 talian tambahan. Syaratnya adalah, talian yang ingin ditambah mestilah daripada pelan yang lebih murah daripada talian utama. Contohnya Postpaid 150 boleh menambah mana-mana pelan yang diingini sebagai talian tambahan manakala Digi Postpaid 60 Cuma boleh tambah pelan Digi Postpaid 40.

Menariknya, kos bulanan untuk talian tambahan adalah berharga 50% daripada yang disenaraikan. Contohnya, jika anda nak tambah Digi Postpaid 40 sebagai talian tambahan, komitmen bulanan yang perlu dibayar adalah RM20/bulan.

Digi juga sediakan servis SIM untuk gajet yang berharga RM10/bulan. Bila gunakan SIM ini, akses Internetnya akan gunakan kuota talian utama.

Ini cara untuk nikmati manfaat macam Digi Infinite 150

Digi ada satu penawaran unik apabila mengemas kini barisan Digi Postpaid. Ia kini ditawarkan dalam bentuk tanpa kontrak atupun berkontrak. Bila anda langgannya bersama-sama kontrak, anda boleh pilhi salah satu daripada empat add-ons yang disediakan iaitu:

  1. Internet – akses internet sehingga tanpa had
  2. Mobile Broadband – langganan Broadband Monthly 65 percuma sepanjang kontrak
  3. Roam Like Home – Kuota Internet, panggilaan suara, dan panggilan IDD setiap bulan
  4. Rebat – Rebat sehingga RM15/bulan bila anda bertransaksi melalui EasyAdd, Google Play Store, dan Apple App Store

Dalam baris 1 daripada jadual, kalau anda perasan frasa “Boleh Kongsi” dan “Tak Boleh Kongsi”, ia bukanlah merujuk kepada kebolehannya untuk ber-hotspot sebaliknya adakah kuotanya boleh dikongsi dengan talian tambahan. Untuk pengguna Postpaid 150 dengan add-on Internet tanpa had, talian tambahan mereka akan mengambil kuota 85GB sedia ada daripada talian utama.

Sekiranya anda ingin dapat manfaat macam Digi Infinite 150, anda boleh ambil add-on Internet dan berhotspot tanpa had melaluinya.

Kesemua add-on ini mengikat anda dengan kontrak selama 12 bulan dan anda boleh bertukar kepada mana-mana add-on seandainya anda penuhi syarat-syarat tertentu.

Ada juga dua add-on lain yang ikat anda selama 24 bulan dibawah kontrak iaitu PhoneFreedom365 dan bila anda dapatkan telefon melalui kontrak biasa.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman rasmi Digi.