Jumlah hari semenjak PKP dilaksanakan

HARI

PKP bermula pada: 18 Mac, 2020

PKPP dijangka tamat dalam

HARI

PKPP dijangka ditamatkan pada 14 Apr, 2021

Ikuti liputan COVID‑19 kami di sini

Wiko Y62 dipertingkat kehebatan, harga kekal di bawah RM300

Telefon murah Wiko yang popular tahun lepas, Wiko Y61 kini dinaik taraf dan diperkenal sebagai Wiko Y62. Walaupun kuasa dalamannya tidak berubah, ia menerima beberapa kemaskini besar. Paling utama, harganya kekal di bawah RM300.

Wiko Malaysia hari ini mengumumkan ketibaan Wiko Y62 dengan penjualan di Malaysia bermula dari 25 Februari 2021. Harga telefon ini cuma RM299 dan ia datang bersama jaminan selama 1-tahun serta pertukaran 1-ke-1 dalam masa 120 hari, jika bermasalah.

Telefon ini masih mengekalkan penggunaan cip Mediatek Helio A20 yang sama seperti Wiko Y61, bersama RAM 2GB dan storan dalaman 32GB. Ia juga menerima kad mikroSD sehingga 256GB untuk storan tambahan. Sokongan dwi-sim 4G masih ada, tetapi kini kedua-duanya dari jenis nano.

Walaupun berkuasa rendah, ia agak mencukupi untuk Wiko Y62 kerana telefon ini menjalankan sistem operasi Android 11 Go. Versi Go ini memerlukan kuasa yang rendah untuk dijalankan tetapi masih lancar. Ditambah lagi dengan penggunaan aplikasi Go lain yang rendah kuasa pemproses seperti Camera Go.

Bahagian kamera juga tidak banyak berubah. Kamera belakang hanya ada 1, dengan resolusi 8MP bersama autofokus. Manakala kamera hadapannya 5MP, di dalam takuk di atas skrin. Dengan aplikasi Camera Go, ia membolehkan tangkapan gambar lebih baik menggunakan pemprosesan AI.

Naik taraf terbesar di Wiko Y62 adalah pada skrinnya. Ia kini menggunakan skrin LCD lebih besar, berukuran 6.1-inci dengan resolusi HD 720p. Pada Wiko Y61 dahulu, skrinnya hanya 5.99-inci dan resolusi 480p. Dengan bingkai lebih kecil di atas dan bawah skrin, membolehkan skrin lebih besar dimuatkan di badan lebih kecil dari Wiko Y61.

Bateri di dalam Wiko Y62 berkapasiti 3,000mah boleh tukar dan ia menggunakan pengecasan mikro-USB untuk menambah kuasa. Jek audio 3.5mm masih ada dan telefon ini datang bersama kepala pengecas serta fon telinga di dalam kotak. Tetapi tiada pengimbas capjari dipasang padanya.

Terdapat tiga warna disediakan untuk Wiko Y62 iaitu biru gelap, biru cerah dan hijau. Ia boleh dibeli dari pengedar sah Wiko di seluruh Malaysia, serta Stor Rasmi Wiko di Lazada dan Shopee.

Maklumat lanjut mengenai telefon pintar terbaru ini boleh didapati di laman produk Wiko Y62. Untuk berita dan promosi terkini tentang Wiko, ikuti Facebook Wiko Malaysia.