Pengasas ClubHouse kongsi petunjuk versi Android diberi keutamaan penting

Aplikasi ClubHouse menjadi sangat popular kebelakangan ini di kalangan pengguna iPhone, hingga menjadi medium pilihan untuk mengadakan acara siaran langsung atau forum dan perbincangan dalam talian. Menggunakan fungsi audio sahaja, pengguna boleh berkumpul di dalam ‘bilik’ dan mendengar perbualan oleh ahli yang dibenarkan oleh moderator.

Tetapi aplikasi ini hanya terdapat untuk iOS sahaja, membuatkan pengguna Android ketinggalan dalam mengikuti sebarang perbincangan hangat yang ada di ClubHouse. Sebelum ini, ClubHouse memaklumkan mereka ada perancangan untuk membangunkan versi Android, tetapi masih belum memulakan sebarang langkah ke arahnya. Bagaimanpaun gerakan ini dikhabarkan telah bermula, dalam satu temuramah bersama Andrew Ross Sorkin, wartawan dari CNBC, baru-baru ini.

Dalam temuramah itu, Andrew telah menjemput Bill Gates dan Paul Davison, pengasas bersama ClubHouse, sebagai tetamu. Pelbagai topik dibincangkan mereka dan salah satunya mengenai telefon yang digunakan oleh Bill Gates.

Bill menyatakan, beliau masih menggunakan Android berbanding iPhone kerana banyak pengeluar Android memasang siap aplikasi Microsoft di dalam telefon. Pengeluar ini lebih fleksibel dalam menghubungkan aplikasi dan sistem operasi, menjadikan ia mudah untuk digunakan.

Paul Davison kemudian menyambung cerita Bill dan menyatakan bahawa versi Android untuk ClubHouse adalah fungsi teratas untuk dibangunkan, petunjuk bahawa ia adalah keutamaan mereka untuk mengembangkan lagi aplikasi ClubHouse.

Sebenarnya, ini bukanlah satu pengesahan rasmi dari ClubHouse tetapi lebih kepada makluman tentang perkembangan ClubHouse untuk Android. Masih tiada jangkamasa diberitahu malah tiada ujian dimulakan lagi.

Jangan pula tersilap muat turun kerana di Google Playstore, kerana telah ada aplikasi yang bernama ClubHouse. Bagaimanapun, ia tiada kaitan langsung dengan ClubHouse yang popular di iOS, sebaliknya ia adalah aplikasi pengurusan projek untuk pembangunan perisian. Jika dilancarkan di Android nanti, mungkin ClubHouse dengan fungsi sembang suara perlu mencari nama lain.

[Sumber: 9to5google]