Xiaomi di China telah melancarkan telefon pintar falgship mampu milik di bawah jenama Redmi, iaitu siri Redmi K40. Terdapat tiga model dilancarkan dengan nama Redmi K40 iaitu Redmi K40, Redmi K40 Pro dan Redmi K40 Pro+.
Ketiga-tiga model ini berkongsi jenis skrin, bateri dan kuasa pengecas yang sama. Dengan hanya sedikit perbezaan pada kuasa pemproses dan jenis kamera. Seperti dijanjikan Xiaomi sebelum ini, Redmi K40 dijual pada harga bermula dari RMB 2,000 (~RM1,251).
Biasanya siri Redmi K menjadi tumpuan ramai kerana ia akan menjadi asas untuk model antarabangsa berkuasa tinggi dan berharga lebih murah dari flagship yang lain. Contohnya Redmi K20 di China menjadi Mi 9T, manakala Redmi K30 Pro menjadi Poco F2 Pro.
Persamaan
Redmi K40 bersama K40 Pro dan K40 Pro+ menggunakan paparan yang sama, dengan saiz yang sama besar iaitu 6.67-inci. Skrin ini dari janis AMOLED, beresolusi HD Penuh, dengan kadar penyegaran 120Hz serta kadar sentuhan 360Hz.
Ia dilapisi kaca Corning Gorilla Glass 5, memiliki tahap kecerahan setinggi 1,300nits dan menyokong HDR10+. Walaupun menggunakan skrin AMOLED, pengimbas capjarinya tidak terdapat di dalam skrin, tetapi diletakkan di tepi, bergabung dengan butang kuasa.
Baterinya pula berkapasiti 4,520mAh dan menyokong pengecasan pantas 33W melalui USB-PD atau QC3.0. Bagaimanapun, Xiaomi menyatakan masa mengecasnya hampir sama dengan pengecas 55W biasa kerana dioptimasi untuk mengecas pantas dari awal sehingga akhir, tidak secara berperingkat.
Selain itu, semua siri telefon ini juga dilengkapi speaker stereo dengan teknologi Dolby Atmos dan diiktiraf Hi-Res Audio, tetapi tiada jek audio 3.5mm. Ia juga masih mengekalkan pemancar infra merah.
Redmi K40
Perbezaan utama Redmi K40 dari model yang lain adalah penggunaan cip Snapdragon 870 di dalamnya. Cip ini adalah naik taraf dari cip Snapdragon 865 dengan kelajuan lebih tinggi, sehingga 3.2GHz. Kuasa ini digandingkan bersama RAM LPDDR5 sehingga 8GB dan storan UFS 3.1 sehingga 256GB.
Untuk kamera, terdapat tiga kamera di belakangnya iaitu kamera utama 48MP F1.8 IMX582, kamera ultra lebar 8MP F2.2 dan kamera telemakro 5MP. Tiada kamera telefoto. Kamera hadapan pula 20MP, terletak di dalam lubang di atas skrin.
Redmi K40 Pro
Telefon ini lebih perkasa kerana ia menggunakan cip Snapdragon 888 terbaru, tetapi sama dari segi RAM dan storan, iaitu RAM LPDDR5 sehingga 8GB dan storan UFS 3.1 sehingga 256GB. Kamera belakang dan depannya juga hampir serupa dengan Redmi K40, tetapi dinaik taraf di kamera utama iaitu sensor 64MP F1.89.
Redmi K40 Pro+
Walaupun menggunakan cip Snapdragon 888, K40 Pro+ adalah paling berkuasa dalam siri ini kerana ia boleh diperolehi dengan RAM LPDDR5 sehingga 12GB dan storan UFS3.1 sehingga 256GB. Selain itu, ia juga menerima peningkatan pada kamera utama, dilengkapi sensor 108MP F1.75 dengan saiz sensor besar 1/1.52-inci dan menyokong teknologi “pixel-binning 9-in-1”, menggabungkan 9 piksel kecil kepada satu piksel besar bersaiz 2.1-mikron.
Harga jualan
Siri Redmi K40 diperkenal dalam tiga warna iaitu putih, biru dan hitam. Ia dijual di China dengan varian dan storan pada harga seperti berikut:
- Redmi K40 (RAM 6GB + Storan 128GB) – RMB 2,000 (~RM1,251)
- Redmi K40 (RAM 8GB + Storan 128GB) – RMB 2,200 (~RM1,376)
- Redmi K40 (RAM 8GB + Storan 256GB) – RMB 2,500 (~RM1,564)
- Redmi K40 Pro (RAM 6GB + Storan 128GB) – RMB 2,800 (~RM1,751)
- Redmi K40 Pro (RAM 8GB + Storan 128GB) – RMB 3,000 (~RM1,876)
- Redmi K40 Pro (RAM 8GB + Storan 256GB) – RMB 3,300 (~RM2,064)
- Redmi K40 Pro+ (RAM 12GB + Storan 256GB) – RMB 3,700 (~RM2,314)
Apa agaknya model jelmaan siri Redmi K40 untuk pasaran global kelak? Adakah di bawah nama Xiaomi atau menjadi miliki Poco? Mungkin ia akan diketahui dalam masa sebulan dua dari sekarang.
[Sumber GSMarena]