Huawei Malaysia mengumumkan ketibaan 2 produk baru mereka untuk bulan Mac ini. Satu ialah tablet dan satu lagi ialah komputer desktop. Ia dijadualkan mula dijual di Malaysia pada 20 Mac 2021.
Tablet baru ini adalah Huawei MatePad 10.4. Ia sebenarnya bukanlah tablet yang baru kerana tablet ini telah dilancarkan tahun lepas. Tetapi Huawei memberi sedikit naik taraf padanya.
Pada kuasa pemprosesnya, Huawei meningkatkan ia kepada cip Kirin 820, berbanding Kirin 810 sebelum ini. Ia masih memiliki 8-teras yang sama, tetapi dengan kelajuan lebih tinggi, sehingga 2.27GHz.
Storannya juga diluaskan daripada 64GB kepada 128GB, serta menerima kad mikroSD sehingga 512GB. RAM pula masih kekal dengan 4GB.
Satu lagi peningkatan ketara padanya adalah sokongan WiFi 6, memberikan kapasiti dan kepantasan internet lebih baik berbanding WiFi 5. Selain dari ini, ia sama dengan MatePad 10.4 yang lama.
Skrinnya berukuran 10.4-inci dari jenis IPS LCD, dengan resolusi HD Penuh 2000×1200. Kamera hadapan 8MP terletak di bingkai di atas skrin, jadi tiada lubang atau takuk pada skrin. Kamera belakangnya hanya 1 iaitu kamera 8MP.
Tablet ini memiliki bateri sebesar 7,250mAh dan menyokong pengecasan pantas 22.5W melalui USB-C. Ia boleh mengecas 30% dalam masa 30 minit dan mengambil masa 2.5 jam untuk mengecas penuh.
Sistem bunyi dikeluarkan melalui 4-speaker di kedua belah sisi tablet. Jek audio tiada tetapi Huawei memberikan adaptor USB-C ke 3.5mm.
Penggunaan M-Pencil turut disokong tablet ini tetapi ia dijual berasingan. Perlu diambil perhatian bahawa, Huawei MatePad 10.4 tiada Google Mobile Services (GMS), jadi ia tidak ada aplikasi Google di dalamnya. Tetapi banyak aplikasi Android boleh dimuat turun melalui Huawei Appgallery.
Harga jualan Huawei MatePad 10.4 yang baru ini masih belum diketahui. Untuk rujukan, model lama Huawei MatePad 10.4 dengan storan 64GB dijual pada harga RM1,399 tahun lepas.
Huawei MateStation S
Huawei juga akan memperkenal komputer desktop baru mereka, MateStation S pada bulan Mac ini. Ia dilihat sebagai kemasukan pertama Huawei dalam pasaran desktop, selepas memperkenal pelbagai laptop MateBook sebelum ini.
Desktop ini menggunakan casis bersaiz kecil, berukuran 9cm lebar dan 29cm tinggi. Casis ini direka lebih mesra pengaliran haba agar tahap kepanasan dapat dikawal pada tahap optimum. Tahap bunyinyga juga rendah agar tidak mengganggu suasana persekitaran.
Ia menggunakan kuasa pemproses AMD Ryzen 5 4600G bersama pemproses grafik Radeon Graphics terbina di dalamnya. Untuk RAM, ia boleh memuatkan sehingga 2 slot RAM DDR4 3200MHz. Manakala di storan, ia boleh dipasang dengan 2 SSD 256GB di slot M.2 PCIe.
Sambungan berwayar juga mudah dicapai kerana di bahagian hadapan terdapat USB-A, USB-C dan jek audio 3.5mm. Di belakang, ia lengkap dengan semua perkara diperlukan seperti HDMI, VGA, LAN RJ-45, Serial port dan USB 3.2.
Papan kekunci yang datang bersama MateStation S memiliki pengimbas capjari terbina di butang kuasa. Ia boleh digunakan untuk akses pantas mendaftar masuk. Selain itu, ia juga menyokong Huawei Share, membolehkan perkongsian dokumen pantas antara peranti Huawei.
Huawei MateStation S datang dalam casis berwarna kelabu dan ia menjalankan sistem oeprasi Windows 10 Home. Harganya akan diumumkan menghampiri tarikh penjualannya.
Maklumat lanjut mengenai produk baru Huawei ini boleh dirujuk di sini.