Jualan teruk iPhone 12 mini paksa Apple kurangkan pengeluarannya

Siri iPhone 12 memberi lonjakan jualan kepada Apple selepas dilancarkan, menjadi telefon 5G paling popular. Ada 4 model di dalam siri iPhone 12 tetapi satu darinya tidak mencapai sasaran jualan yang ditetapkan.

iPhone 12 mini adalah telefon pintar Apple pertama berkuasa tinggi bersaiz kompak, dilancarkan selepas iPhone 8. Tetapi Apple dilaporkan sedang mengurangkan pengeluarannya awal tahun ini, sehingga 70% atau lebih.

Beberapa pengeluar komponen telah diminta untuk menghentikan buat seketika, penghasilan komponen khusus untuk iPhone 12 mini. Ada beberapa komponen lain, disalurkan untuk kegunaan iPhone 12 Pro dan Pro Max.

Selain iPhone, Apple juga dilaporkan menangguhkan pelancaran dua laptop MacBook baru yang dikuasakan cip Apple Silicon. Pada awalnya, ia dijadualkan akan dilancar sekitar bulan Mei atau Jun. Tetapi pengeluarannya hanya akan bermula pada pertengahan kedua tahun ini.

Walaupun pengeluaran dikurangkan, iPhone masih dihasilkan lebih banyak tahun ini berbanding tahun lepas. Apple mulanya merancang untuk menghasilkan 75 juta telefon pada pertengahan pertama 2021, dengan sejumlah 230 juta telefon sepanjang tahun ini.

Apple sebenarnya cuba menghasilkan lebih banyak telefon pada awalnya, kerana mahu membuat tempahan awal sebelum kekurangan pengeluaran cip global berlaku. Isu pengeluaran cip kini telah menjadi masalah utama di seluruh industri teknologi.

Bulan lepas, laporan jualan Apple menunjukkan iPhone 12 mini tidak mencapai sasaran yang ditetapkan, di mana hanya 5% jualan iPhone 12 pada bulan Januari adalah dari model mini. Pada hujung 2020, jualan iPhone 12 mini meliputi 10-15% dari keseluruhan iPhone 12.

Walaupun ada permintaan terhadap telefon pintar kompak berkuasa tinggi sehingga membuatkan Apple mengambil langkah melancarkan iPhone 12 mini, pengguna masakini dilihat lebih gemarkan telefon dengan skrin dan bateri lebih besar. Walaupun harga mini paling murah dalam keluarganya, pengguna masih ada pilihan untuk mendapatkan model lama untuk yang mencari penjimatan. Ini turut disumbang oleh kemaskini iOS yang sangat panjang.

[Sumber: The Verge]