Kamera Huawei P50 akan sebesar ini?

Huawei sering melancarkan siri-P flagship mereka pada bulan Mac setiap tahun. Namun sehingga kini, masih tiada berita pengganti Huawei P40 kedengaran. Tetapi berita dari OnLeaks ini mungkin boleh menjadi santapan awal peminat peranti teknologi terbaru.

OnLeaks, salah seorang pembocor berita popular telah berkongsi gambaran siri Huawei P50 berdasarkan maklumat yang telah mereka terima. Secara ringkas, rekaan Huawei P50 dan P50 Pro tidak jauh berbeza.

Tarikan utama di siri Huawei P50 kali ini adalah modul kamera belakang yang sangat besar. OnLeaks masih tiada maklumat mengenai spesifikasi kamera belakang ini tetapi antara khabar yang terdengar adalah ia akan menggunakan sensor bersaiz 1-inci, pertama kali akan ada di telefon pintar. Dengan bulatan yang sangat besar ini, mungkin juga lebih dari 1 lensa akan dimuatkan di dalamnya.

Selain itu, Huawei juga tidak lagi menggunakan dwi-kamera swafoto di versi Pro. Sebaliknya ia akan menggunakan satu kamera sahaja di lubang di bahagian atas tengah skrin, tidak lagi di sisi.

Kedua-dua telefon pintar ini akan menggunakan kaca di bahagian belakang telefon, bersama bingkai daripada besi. Ia juga dilengkapi pengimbas capjari di dalam skrin dan speaker stereo.

Untuk Huawei P50, skrinnya dari jenis rata berukuran 6.3-inci. Badannya memiliki ukuran 156.7 x 74 x 8.3mm, sedikit besar berbanding Huawei P40. Tetapi modul kamera belakang menjadikan tebalnya sebanyak 10.6mm.

Bagi Huawei P50 Pro pula, skrinnya sedikit melengkung di sisi, berukuran 6.6-inci. Ia juga memiliki bingkai di tepi skrin lebih kecil dari Huawei P50. Ukuran badan Huawei P50 Pro adalah 159 x 73 x 8.6mm, dengan ketebalan di modul kamera belakang 10.3mm. Ini lebih nipis dari Huawei P50.

Adakah maklumat dari OnLeaks kali ini tepat? Kita hanya boleh nantikan pengesahannya dari Huawei. Mungkin sekatan dari Amerika Syarikat menjadikan mereka lambat sedikit melancarkan siri Huawei P50 kali ini, ditambah lagi dengan krisis pengeluaran cip sedunia.

[Sumber: OnLeaks 1, OnLeaks 2]