Instagram ‘Safety Notice’ mahu lindungi remaja dari gangguan DM pengguna dewasa

Instagram ada sediakan dasar baru yang dilihat akan membataskan komunikasi antara pengguna remaja dan pengguna dewasa. Ia seperti memberi keselamatan dan privasi yang lebih kepada pengguna remaja.

Hadkan DM antara pengguna remaja dan dewasa

Untuk melindungi remaja dari berhubung dengan individu dewasa yang tidak diingini, Instagram memperkenalkan ciri baru bagi menghalang pengguna dewasa daripada menghantar mesej kepada pengguna di bawah 18 tahun yang tidak mengikutinya.

Contohnya, apabila pengguna dewasa cuba menghantar mesej kepada remaja yang tidak mengikutinya, remaja tersebut akan menerima pemberitahuan bahawa individu yang DM (Direct Message) mereka itu bukanlah satu pilihan mereka.

Ciri ini bergantung kepada teknologi pembelajaran mesin untuk meramal usia pengguna dan juga menggunakan usia yang diberikan oleh individu ketika mereka mendaftar.

Ciri Safety Notice

Selain itu, Instagram juga mewujudkan ciri Safety Notice (pemberitahuan keselamatan) sebagai langkah peringatann kepada pengguna remaja untuk berhati-hati dalam perbualan dengan pengguna dewasa yang mereka sedang berhubung.

Safety Notice akan muncul dalam DM apabila pengguna remaja sedang berinteraksi dengan pengguna dewasa yang mencurigakan.

Contohnya, jika pengguna dewasa itu menghantar sejumlah besar friend request (permintaan rakan) atau mesej kepada pengguna di bawah 18 tahun, Instagram akan menggunakan ciri ini untuk memberi amaran kepada penerima DM.

Seterusnya, penerima DM akan diberi pilihan untuk mengakhiri perbualan dengan menyekat, melaporkan, atau meghadkan pengguna dewasa itu.

Galakkan remaja tetapkan akaun kepada peribadi

Apabila pengguna berusia di bawah 18 tahun mendaftar akaun Instagram, mereka akan diberi pilihan untuk memilih untuk menetapkan akaun mereka kepada private (peribadi) atau umum.

Sekiranya pengguna remaja itu tidak memilih private semasa mendaftar, mereka akan menerima pemberitahuan tentang kelebihan akaun private dan akan diingatkan untuk memeriksa tetapan.

Ciri ini amat membantu golongan remaja untuk kekal selamat di dalam talian. Ia akan mula tersedia di beberapa Negara pada bulan ini. Namun, masih belum diketahui tarikh spesifikik pengguna di Malaysia dapat menggunakannya.

[Sumber: Instagram]