Kongsi filem di Telegram, suspek berdepan hukuman denda RM50,000 atau penjara 5 tahun

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya menahan seorang lelaki berusia 45 tahun kerana disyaki menyiarkan karya filem tanpa kebenaran pemilik hak cipta di media sosial Telegram.

Selepas hasil risikan kira-kira dua minggu, suspek berjaya di tahan di rumahnya di Seremban, Negeri Sembilan dan penahanan itu turut disertai wakil pemilik hak cipta. Dalam serbuan itu, KPDNHEP merampas beberapa barang milik suspek termasuk peralatan komunikasi dengan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM5,000.

Hukuman

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata lelaki itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41 (3) Akta Hak Cipta 1987 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak berkongsi atau mengedarkan mana-mana karya hak cipta termasuk filem, lagu, buku berbentuk digital dan sebagainya menerusi Internet atau media sosial tanpa kebenaran pemilik hak cipta.

Namun apa yang dapat dilihat, Telegram kini mempunyai banyak kumpulan yang menyediakan pautan filem serta drama dari Malaysia dan antarabangsa. Masukkan sahaja tajuk drama atau filem yang ingin di cari sudah pasti akan keluar kumpulan yang seolah-olah menyediakan pautan sesebuah filem itu.

Namun, anda perlu ingat jangan gunakan Telegram untuk tonton sebarang filem atau drama yang anda mahu. Anda boleh kunjungi saluran sah untuk memastikan penghasil sebenar mendapat royalti atau pendapatan untuk hasilkan lebih filem dan drama. Contoh saluran yang sah ialah seperti iflix, iQIYI dan Viu.

Sekiranya anda menggunakan Telegram dan mengesyaki sebarang kegiatan cetak rompak di platform itu, anda disarankan agar menyalurkan maklumat kepada kementerian dengan melaporkannya melalui talian, 1-800-886-800 atau 03-8882 6088.

Selain itu, laporan juga boleh dilakukan melalui WhatsApp di talian 019-2794317 atau di http://e-aduan.kpdnhep.gov.my. Anda juga boleh hadir sendiri ke mana-mana pejabat KPDNHEP yang berhampiran agar tindakan sewajarnya boleh diambil dengan lebih efektif.

[Sumber: Metro, Sinar]