Mokhzani Mahathir dilantik Pengerusi Maxis baru menggantikan Raja Tan Sri Arshad

Pengerusi Maxis, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda mengumumkan bahawa beliau akan meletakkan jawatan sebagai pengerusi syarikat telekomunikasi tersebut, berkuatkuasa pada 22 April 2021. Perkara ini disahkan oleh lembaga pengarah Maxis menerusi kenyataan di Bursa Malaysia.

Raja Arshad akan terus bertugas sebagai pengarah bukan eksekutif bebas Maxis selepas itu. Jawatan Pengerusi Maxis pula akan disandang oleh Mokhzani Mahathir.

Raja Arshad berkata, ia adalah suatu penghormatan untuk berkhidmat sebagai Pengerusi Maxis selama 11 tahun, bekerjasama dengan ahli lembaga pengarah yang lain dalam membimbing Syarikat dalam transformasinya dari pemain mudah alih terkemuka kepada penyedia penyelesaian terpadu terkemuka di negara ini.

“Saya bangga dengan apa yang telah kami capai dan bagaimana kami terus melayani pelanggan dan pihak berkepentingan yang kami hargai dalam persekitaran digital yang berkembang pesat. Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada Lembaga Pengarah, pengurusan dan warga Maxis yang telah memberi sokongan yang begitu padu yang akan saya hargai selama-lamanya.

“Saya percaya bahawa sudah waktunya untuk saya menyerahkan peranan sebagai Pengerusi kepada anggota Lembaga yang lebih muda, dan saya mengucapkan tahniah kepada Mokhzani atas pelantikannya. Beliau adalah pemimpin korporat dan usahawan berpengalaman serta berpengetahuan luas dalam industri telekomunikasi, selepas beberapa tahun menganggotai lembaga dan menjadi ahli bagi beberapa Jawatankuasa Lembaga. Saya yakin dengan sokongan dan komitmen berterusan dari semua warga Maxis, Syarikat akan terus berkembang di bawah kepimpinannya,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Mokhzani pula dalam kenyataan yang sama, berterima kasih kepada Raja Arshad di atas kepimpinan, panduan, dan sumbangan beliau kepada Maxis sejak dilantik sebagai Pengerusi pada tahun 2009. Beliau juga menantikan apa yang boleh dilakukan dengan peranan baru serta kerjasama dengan Lembaga Pengarah, pengurusan dan warga Maxis bagi mempercepat cita-cita pertumbuhan jangka panjang.

“Kami berada di puncak era teknologi baru dan Maxis selalu berada di barisan hadapan dalam membawa inovasi baru kepada negara. “Saya yakin bahawa sebagai penyedia penyelesaian terpadu yang terkemuka, Maxis akan memainkan peranan penting dalam memajukan kesalinghubungan dan agenda digital negara,” katanya.

Mokhzani kini mempengerusikan Jawatankuasa Audit dan Risiko Maxis dan juga anggota Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan serta Jawatankuasa Hal Ehwal Kerajaan dan Kawal Selia. Beliau akan melepaskan peranannya sebagai Pengarah Bebas Kanan dan Pengerusi Jawatankuasa Audit dan Risiko, selepas Mesyuarat Agung Tahunan yang akan diadakan pada 22 April 2021.

[Sumber: Harian Metro]