OnePlus Watch, bertenaga sehingga 14 hari, kalis air IP68 dan boleh mengawal TV

Selain telefon pintar OnePlus 9, OnePlus turut melancarkan satu lagi peranti di pentas pelancaran yang sama. Ia adalah jam pintar OnePlus Watch.

Rekaan OnePlus Watch dilihat minimalis dan nipis. Ia menggunakan bentuk bulat dengan dua butang fizikal di tepi. OnePlus turut mencacah perkataan OnePlus di salah satu butang untuk menonjolkan keunikannya.

Muka jamnya berdiameter 46mm, dengan skrin melengkung AMOLED berukuran 1.38-inci dan resolusi tajam 454×454, memberi kepadatan piksel 326 PPI. Badannya diperbuat dari besi tahan karat 316L, setiap satu diperhalusi secara manual menggunakan tangan.

Sebagai jam pintar, OnePlus Watch dilengkapi pelbagai sensor dan pemantau. Antaranya sensor pemecut, giroskop, geomagnetic, pemantau denyutan nadi bersama sensor oksigen dalam darah (SpO2), sensor cahaya, dan sensor tekanan. Ia juga memiliki pengesan GPS terbina di dalamnya yang menyokong satelit GLONASS, Galileo dan Beidou.

Peminat kecergasan turut boleh menggunakan OnePlus Watch kerana ia datang dengan pemantau lebih 110 jenis sukan dan kecergasan. Dengan kekalisan air dan debu IP68 serta 5ATM, ia juga boleh dibawa berenang.

Jam pintar ini juga boleh digunakan untuk membuat panggilan terus dari pergelangan tangan, menggunakan pembesar suara dan mikrofon yang terbina di dalamnya.

Satu lagi keunikan OnePlus Watch ialah kebolehannya mengawal TV. Tetapi ia hanya menyokong OnePlus TV sahaja. Dari OnePlus Watch, pengguna boleh mengawal OnePlus TV dari jarak jauh seperti mengubah tahap bunyi dan menukar saluran. Ia juga boleh menurunkan tahap bunyi apabila panggilan masuk dikesan di jam. Lebih menarik, ia boleh memadamkan OnePlus TV apabile mengesan pengguna tertidur semasa menonton.

Pengguna boleh mendengar lagu terus di jam OnePlus Watch tanpa peranti, kerana ia memiliki storan 4GB. Tetapi ia tidak menyatakan sokongan penstriman muzik. Selain itu, ia boleh ditambatkan dengan fon telinga Bluetooth untuk pengalaman tanpa peranti.

OnePlus Watch tidak menggunakan sistem operasi Android, kerana itu ia memiliki hayat bateri yang panjang. Ia mengecas menggunakan dok magnetik dan jangka hayat sehingga 14 hari dalam penggunaan biasa. Jika digunakan bersama fungsi pemantau Oksigen dalam darah waktu tidur, ia boleh bertahan sehingga 5 hari. Untuk penggunaan GPS berterusan, ia boleh digunakan sehingga 25 jam tanpa henti.

Jam pintar OnePlus Watch boleh dipadankan dengan mana-mana peranti dengan sistem operasi Android 6.0 dan ke atas, tetapi tidak dengan peranti iOS. Ia menyokong Bluetooth 5.0 rendah tenaga untuk sambungan tanpa wayar.

Terdapat 2 jenis OnePlus Watch diperkenalkan. Pertama ialah OnePlus Watch Classic dengan badan besi tahan karat dan tali getah Fluoroelastomer, berwarna hitam dan putih. Kedua adalah edisi terhad OnePlus Watch Cobalt, dengan badan diperbuat dari Kobalt yang 2x lebih keras dari besi tahan karat, tali kulit hijau dan muka jam dari kaca Nilam kalis calar.

Dalam pelancaran ini, OnePlus Watch Classic akan dijual bermula April 2021 di beberapa negara terpilih, pada harga USD 159 (~RM654). OnePlus Watch Cobalt akan diumumkan jualannya kemudian. Sama seperti OnePlus 9, tiada khabar sama ada OnePlus Watch akan datang ke Malaysia.