Penyedut hampagas wayarles baru Xiaomi tiba di Malaysia, harga dari RM429

Penyedut hampagas mudahalih tanpa wayar merupakan salah satu perkakas di rumah yang menjadi kegemaran ramai. Xiaomi Malaysia kini mengumumkan ketibaan dua penyedut hampagas ini, dikenali sebagai Mi Vacuum Cleaner G10 dan Mi Vacuum Cleaner Light.

Kedua-duanya akan mula dijual di Malaysia pada 26 Mac 2021 di Stor Rasmi Xiaomi di Lazada dan Shopee, serta di semua Mi Store dan pengedar sah Xiaomi di Malaysia.

Mi Vacuum Cleaner G10

Ini adalah penyedut hampagas berkuasa tinggi, memiliki motor digital yang berputar dengan kelajuan 125,000rmp, dan menghasilkan kuasa sedutan setinggi 150 Air Watt. Ini 25% lebih kuat dari model sebelumnya.

Xiaomi melengkapkannya dengan penapis HEPA yang menapis kuman dan bakteria sehingga 99.97% dan ia memiliki skrin TFT untuk memaparkan status masa nyata, termasuk mod sedutan dan tahap bateri.

Ia datang bersama dok pengecas yang boleh menjadi penyangkut di dinding. Dengan mengecas penuh, ia boleh digunakan sehingga 65 minit di dalam mod Eco dan baterinya boleh dicabut. Selain itu, penyedut hampagas ini memiliki ruangan sampah yang boleh diisi sehingga 0.6L.

Mi Vacuum Cleaner G10 dijual di Malaysia pada harga RM1,099. Ia boleh didapati di Lazada, Shopee dan Mi Stores bermula 26 Mac 2021.

Mi Vacuum Cleaner Light

Versi lebih mampu milik ini bukan sahaja ringan harganya, tetapi juga di beratnya yang hanya 1.2kg, membuatkan ia lebih mudah digunakan oleh wanita. Ia memiliki motor berkelajuan 100,000rmp dengan kuasa sedutan sehingga 50 Air Watt.

Baterinya mengambil masa 5.5 jam untuk mengecas penuh dan boleh digunakan sehingga 45 minit. Ruang sampahnya boleh dicabut dan mudah dicuci.

Mi Vacuum Cleaner Light boleh dibeli pada harga RM429 sahaja dan ia terdapat di Lazada, Shopee dan Mi Stores mulai 26 Mac 2021.