Huawei Band 6 dinaik taraf dengan pemantau SpO2 & kitaran haid, dijual bermula 4 April

Huawei Malaysia memulakan minggu baru dengan pengumuman dua produk baru, gelang pintar Huawei Band 6 dan router WiFi 6 Huawei AX3 dual-core. Kedua-dua produk ini akan mula dijual di Malaysia pada 4 April 2021.

Huawei Band 6

Gelang pintar popular dari Huawei kini lebih besar, dengan rupaya lebih mirip kepada sebuah jam pintar. Skrinnya kini dipertingkat kepada AMOLED 1.47-inci, 148% lebih besar dari model lama, dengan resolusi tajam 194×368. Skrin ini dilengkapi fungsi sentuhan dan dibantu satu butang fizikal di sisi.

Sebagai peranti pintar, Huawei Band 6 boleh memaparkan pelbagai notifikasi dari telefon pintar di skrinnya. Ia juga boleh bertindak sebagai pengawal jarak jauh untuk mengambil gambar di telefon. Dengan pengiktirafan 5ATM, ia turut boleh dibawa ke dalam air.

Hayat bateri masih dikekalkan, boleh bertahan sehingga 14 hari dalam sekali cas. Pengecasan dibuat menerusi dok magnetik, boleh memberi tenaga 2-hari dengan mengecas selama 5 minit sahaja.

Fungsi kecergasan turut dinaik taraf di Huawei Band 6. Selain pengesan denyutan nadi menggunakan teknologi Huawei TruSeen 4.0, ia turut boleh memantau tahap oksigen darah (SpO2) sepanjang masa, 24/7. Ia boleh memberi amaran kepada pengguna jika tahap oksigen yang rendah, atau denyutan nadi waktu rehat di luar kebiasaan. Perlu diingatkan, ini bukanlah perkakas perubatan yang tepat, tetapi boleh digunakan untuk pemeriksaan awal kesihatan.

Selain itu, Huawei juga ada menambah fungsi yang sangat membantu pengguna wanita iaitu pemantau kitaran haid. Fungsi ini dibantu dengan memantau tahap tekanan dan kualiti waktu tidur pengguna.

Huawei melengkapi gelang pintar ini dengan getah silikon sebagai tali jam, dilapisi cahaya UV polimerisasi, dikatakan lebih mesra kulit dan kalis kekotoran. Ini juga membantu menjadikan Huawei Band 6 sangat ringan, dengan berat hanya 18g.

Promosi Hari Pertama Jualan

Orang ramai boleh mendapatkan Huawei Band 6 bermula 4 April 2021, di Stor Online Huawei Malaysia dan Stor Rasmi Huawei di Shopee. Sebagai promosi pengenalan, pembeli berpeluang menerima baucar RM20 yang boleh digunakan untuk pembelian produk Huawei terpilih.

Huawei Band 6 ditawarkan dalam tiga warna iaitu badan hitam dan tali hitam, badan emas dan tali oren, serta badan hitam dan tali hijau. Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Huawei Band 6.

Huawei WiFi AX3 (dual-core)

Sebelum ini Huawei telah memberi petunjuk tentang kedatangan router WiFi 6 termurah mereka, Huawei WiFi AX6. Ia diumumkan berharga RM199, paling murah di pasaran masa kini untuk router WiFi 6 dan akan mula dijual di Malaysia pada 4 April 2021.

Router ini juga bukanlah sesuatu yang baharu di Malaysia kerana sebelum ini Huawei Malaysia telah pun melancarkan Huawei WiFi AX3 tahun lepas, tetapi dikuasakan cip 4-teras. AX3 Dual-Core atau dwi-teras ini memiliki prestasi yang sedikit rendah, tetapi masih mampu menyediakan kapasiti penghantaran data sehingga 3,000Mbps.

Dengan harga lebih murah ini, router Huawei AX3 Dual-Core boleh menjadi pilihan untuk pengguna yang mahu menggunakan WiFi 6 di rumah, memandangkan sudah banyak telefon pintar menyokong WiFi 6.