Penggunaan Diesel Euro 5 ganti Euro 2M berkuatkuasa di Malaysia

Pelaksanaan minyak diesel berspesifikasi Euro 5 menggantikan Euro 2M yang sepatutnya berkuatkuasa 1 September 2020, kini telah dilaksanakan di Malaysia pada 1 April 2021. Perkara ini dimaklumkan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sehubungan itu, semua syarikat pengeluar, pembekal dan stesen minyak dikehendaki mematuhi pelaksanaan tersebut selaras dengan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Kandungan Petrol Dan Diesel) 2007 serta Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Kandungan Petrol Dan Diesel) (Pindaan) 2021.

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man

“Euro 5 merupakan diesel dengan kualiti yang lebih bersih dan kandungan sulfur yang lebih rendah iaitu sebanyak 10 part per million (ppm) berbanding Euro 2M yang mempunyai kandungan sulfur sebanyak 500 ppm. Enjin berteknologi baharu yang mematuhi standard pelepasan Euro 4 ke atas memerlukan minyak yang lebih bersih untuk beroperasi secara optimum dan cekap dalam mengawal pelepasan asap atau gas pencemar daripada ekzos,” katanya.

Kualiti minyak bukan sahaja penting untuk sistem enjin dan pelepasan daripada ekzos. Malah, ia akan dapat mempertingkatkan status kualiti udara. Ia merupakan salah satu usaha kerajaan untuk mempertingkatkan status kualiti udara, sepertimana yang digariskan dalam Pelan Tindakan Udara Bersih 2010, terang Tuan Ibrahim lagi.

Harga diesel di Malaysia untuk minggu ini, 1-7 April 2021 telah berada pada paras siling tertinggi iaitu RM2.15/liter. Harga RON95 juga masih kekal di paras siling RM2.05/liter manakala RON97 naik 2 sen dari minggu lepas, menjadi RM2.52/liter.

[Sumber: Bernama]