Pengguna Instagram boleh berduet video di Reels, sama seperti TikTok

Instagram Reels baru sahaja ada di Malaysia pada pertengahan Mac yang lalu. Kini Instagram malumkan ada satu penambahan baru pada ciri itu, ia dilihat sama juga seperti TikTok. Penambahan itu dinamakan “Remix this Reel“.

Konsep remix ini ialah duet, maksudnya, anda boleh rakam video anda di sebelah video asal pengguna lain yang anda pilih. Ciri ini sudah popular di TikTok, artis pun sudah guna, ada yang duet menari, menyanyi dan cabaran yang trending.

Cara Remix Reel

  1. Pada video Reels pengguna lain, anda perlu tekan 3 titik di bahagian bawah sebelah kanan.
  2. Kemudian akan keluar banyak pilihan termasuklah Remix This Reel
  3. Tekan Remix This Reel dan anda boleh teruskan video duet

Selepas duet, anda boleh kawal audio dan tambah suara (voice over), tambah perkataan serta ada fungsi penyuntingan lain sama juga seperti di Tiktok.

Selain itu, hanya video Reels terbaru sahaja yang akan ada ciri Remix This Reel ini. Tetapi anda boleh juga benarkan fungsi duet pada Reels anda yang lama, anda hanya perlu tekan 3 titik pada bahagian bawah kanan video Reels anda kemudian pilih Enable Remixing.

Jika anda mahu matikan fungsi ini pada semua video Reels anda, anda boleh pergi ke profil dan tetapkannya di situ.

Beza duet Reels dengan TikTok ialah, tempoh Reels maksimum 30 saat manakala TikTok 60 saat. Jika duet melalui Reels anda akan ada di sebelah kanan, kalau TikTok pula sebelah kiri. Itu sahajalah perbezaannya.

Jadi sekarang anda nak berduet di mana? Instagram atau Tiktok?

[Sumber: Instagram, TheVerge]